fbpx

Orang Arab SOP ‘hauk’, ada duit jalan – Ifa Raziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFA RAZIAH kini selesai menjalani kuarantin selepas pulang daripada mengerjakan umrah minggu lalu.

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara sensasi Ifa Raziah yang baru sahaja menjejakkan kaki di tanah air daripada mengerjakan ibadah umrah mendedahkan prosedur operasi standard (SOP) di Arab Saudi sangat teruk berbanding Malaysia.

Ifa atau nama lengkapnya, Saripah Raziah Mustapha berkata, di Arab Saudi termasuk Mekah dan Madinah, asalkan punya wang, segalanya mungkin termasuk keputusan ujian calitan Covid-19 tidak diambil serius.

“Di sana, saya berani cakap, asal ada wang, semuanya jalan termasuk keputusan ujian calitan Covid-19 tidak dipandang serius oleh penduduk di sana.

“SOP di sana memang ke laut dan memang dipandang remeh. Orang bertembung, berkumpul, berpeluk sini sana dan sebenarnya, saya sampai sana pun saya macam sangat terkejut macam tiada virus berbahaya sedang menular.

“Sampai Malaysia, baru saya rasa selamat dan untuk itu, terima kasih dan syabas buat Khairy Jamaluddin dan pihak Kementerian Kesihatan kerana bertegas tentang SOP,” kata pelantun lagu Ser…Ser…Ser… itu kepada Kosmo! Online.

Ifa berangkat ke Tanah Suci 8 Disember dan pulang ke Malaysia pada 22 Disember dan semalam merupakan hari terakhir dia dan keluarga menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Mengulas tentang sebilangan jemaah umrah yang mengamuk dan terpaksa ditempatkan bilik sesudah mendarat di tanah air, Ifa bagaimanapun bersetuju dengan tindakan dilakukan pihak kementerian bagi membendung penularan virus Covid-19, khususnya varian Omicron namun perlu dilakukan secara sistematik.

“Saya faham jemaah umrah penat. Sampai Malaysia dan terpaksa bersesak-sesak dalam satu tempat, siapa tak bising dan mengamuk? Saya pun penat tapi kalau tak buat begini, entah bagaimana kesannya.

“Pun begitu, saya percaya apa yang dilakukan KJ dan kementeriannya adalah untuk kebaikan bersama. Apatah lagi berdasarkan pengalaman di sana (Tanah Suci), saya rasa sangat wajar kerajaan bertegas dengan mana-mana individu yang baru pulang dari luar negara.

“Kerajaan dah bagi peluang ke luar negara, buat umrah dan macam-macam jadi pulang ke negara ini pastikan kita ak bawa virus yang boleh merebak kepada orang lain. Senang cerita, pergi dan pulang dengan rasa tanggungjawab sebab itu yang membezakan kita dengan penduduk negara lain.

“Tapi, kalau boleh saya cadangkan, nak kuarantin beberapa jam orang yang baru pulang ke tanah air, beri keutamaan dan keselesaan buat orang-orang tua, orang kelainan upaya (OKU). Jangan susahkan mereka,” getus Ifa berhemah.

Terdahulu, Ifa berkongsi satu video yang dipetik daripada TikTok tentang sebilangan jemaah umrah tanah air yang mengamuk disebabkan ‘dikurung’ lama sesudah mendarat di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI