fbpx

‘Syarikat gergasi tetapi servis siput’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BENCANA banjir besar yang melanda beberapa kawasan di negeri Selangor minggu lalu menyebabkan ramai yang terkesan selepas kehilangan harta benda, kenderaan dan nyawa.

Di sebalik musibah tersebut, terselit cerita kurang enak didengar tentang servis satu syarikat telekomunikasi yang boleh disifatkan gah dan dianggap ‘gergasi’ di negara ini.

Di satu lokasi banjir di daerah Sepang, ramai mangsa banjir merungut dan kecewa disebabkan talian 4G syarikat telekomunikasi tersebut putus-putus dan adakalanya hilang terus dari radar menyebabkan mereka sukar untuk menghubungi rakan-rakan lain bagi menaikkan status terkini menerusi media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan sebagainya.

Rata-rata mereka berkata, apalah malang nasib, sudahlah rumah dilanda banjir, nak menghubungi keluarga dan rakan-rakan pun tak dapat disebabkan gangguan teknikal talian komunikasi yang dialami itu.

Ingatkan gangguan tersebut bersifat sementara, tetapi berlarutan dari hari Sabtu hingga Rabu menyebabkan panggilan ke luar kawasan gagal dilakukan pengguna.

Bayangkan lima hari yang menyeksakan hidup tanpa dapat mengakses internet dan menghubungi sesiapapun di dunia ini seolah-olah kembali hidup pada zaman batu.

Dalam hal ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu ambil masa begitu lama untuk mencari punca dan mengatasi masalah yang timbul memandangkan syarikat itu bukan setahun dua beroperasi, tetapi sudah berpuluh tahun bertapak gah di negara ini.

Bagi mereka, sepatutnya sebagai sebuah syarikat gergasi, tempoh untuk mengatasi aduan pelanggan perlu dipendekkan terutamanya mereka yang ‘terperangkap’ dengan musibah banjir.

Ironinya, pihak berkenaan menguar-uarkan bakal berpindah ke satu tahap tertinggi dalam dunia telekomunikasi dalam tempoh terdekat, sedangkan pelanggan yang selama ini memberikan pendapatan kepada mereka terpinggir dengan perkhidmatan yang seolah-olah masih kekal pada kelas ketiga.

Ketika menghubungi talian careline syarikat telekomunikasi terbabit, jawapan yang ditagih tidak memberikan cerminan sebenar tentang isu yang cuba diutarakan dengan pelbagai alasan diberikan termasuk penutupan talian 3G mungkin antara punca masalah itu.

Sebelum banjir melanda, penulis sendiri banyak kali mengalami masalah drop call. Setiap kali panggilan dibuat, sama ada tiba-tiba terputus atau orang yang dihubungi tidak menerima apa-apa panggilan.

Disebabkan itu, panggilan terpaksa dibuat beberapa kali. Bukankah situasi sebegini mengganggu urusan harian pelanggan yang sudah semestinya mempunyai perkara yang perlu diselesaikan dengan satu panggilan telefon.

Diharapkan agar syarikat telekomunikasi terbabit melakukan sesuatu dalam hal ini jika tidak mahu kehilangan pelanggan, memandangkan bil yang dibayar setiap bulan bukan murah untuk dapat servis seteruk ini.

Dengarlah denyut nadi pelanggan yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik, selari dengan usia syarikat komunikasi yang seharusnya semakin bijak merancang dan memberikan sehabis baik kepada pengguna. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI