DUNGUN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu hakikat yang perlu ditanggung seorang suami apabila isteri dan empat anak lelakinya disahkan mengalami lumpuh disebabkan penyakit sendi.
Jumahir Mahsun, 52, dari Felda Kertih 6 di sini berkata, keempat-empat anaknya yang berusia 16 hingga 25 tahun tersebut menghidap penyakit berkenaan sejak berumur setahun.
“Mereka tidak dapat membesar seperti kanak-kanak normal lain. Anak sulung saya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya terlantar di atas katil.
“Anak kedua, Ahmad Arifin, 23, Ahmad Zainudin, 17, (keempat) dan Ahmad Budiman,16, (bongsu) pula tidak dapat duduk dengan sempurna berikutan masalah sendi kaki dan tangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Jumahir berkata, hanya anak ketiga, Nor Hanisa, 20, hidup sebagai insan normal dan sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Lebih memeritkan kata beliau, isterinya, Rohayati Abdullah, 50, juga tiba-tiba disahkan lumpuh dipercayai akibat penyakit sama kira-kira empat tahun lalu.
“Saya tidak boleh bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit sejak isteri sakit kerana dia dan empat anak tidak mampu lagi menguruskan diri dan memerlukan penjagaan rapi,” katanya.
Jumahir berkata, keluarganya kini bergantung harap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,400 sebulan.
Tambahnya, kebanyakan wang bantuan tersebut digunakan untuk membeli keperluan isteri dan empat anaknya.
“Anak ketiga saya (Nor Hanisa) pula perlu berjimat-cermat dengan menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya berdoa agar dipanjangkan umur dan terus diberi kesihatan kerana tidak dapat membayangkan siapa akan menjaga isteri dan anak-anak jika saya sudah tiada nanti,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Rohayati bernombor 11116-29-00012568-1 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 014-5401915. -K! ONLINE