GEORGE TOWN – Kesemua 10 hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibuka di beberapa negeri bagi merawat pesakit Covid-19 telah menamatkan operasi masing-masing susulan penurunan jumlah kes jangkitan Covid-19.
Dua buah hospital medan di negeri ini iaitu di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan unit rawatan rapi (ICU) hospital medan ATM Kepala Batas di Seberang Perai dekat sini ditutup secara rasminya pada hari ini.
Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, kedua-duanya adalah hospital medan terakhir yang ditutup operasinya setelah angka kes Covid-19 menurun dengan ketara.
“Objektif penubuhan hospital medan ATM adalah bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat pesakit Covid-19, yang mana penggunaan katil di hospital KKM telah melebihi kapasiti 90 peratus pada ketika itu.
“Hospital medan ATM Pulau Pinang dan ICU hospital medan ATM Kepala Batas ditutup secara rasminya hari ini selepas angka kes Covid-19 telah menurun hasil kejayaan dan keberkesanan langkah mitigasi serta program vaksin di negara ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Simbolik Penutupan Hospital-Hospital Medan ATM di HPP di sini hari ini.
Menurut Muhammad Huzaimi lagi, seramai 421 pesakit Covid-19 dirawat dan 381 pesakit telah sembuh di ICU Hospital Medan ATM Kepala Batas sejak beroperasi pada 28 Mei lalu.
Beliau berkata, hospital medan ATM di HPP pula telah merawat 499 pesakit sepanjang 97 hari beroperasi.
Katanya, pihaknya juga bersedia untuk membuka kembali operasi hospital berkenaan sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian pada masa akan datang. – K! ONLINE