PETALING JAYA – Jarang sekali berlaku tetapi inilah yang terjadi apabila Kelab Peminat Zul Ariffin (ZAFC) tampil menyangkal dakwaan ramai mengenai hero kegemaran Malaya itu sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang selebriti wanita.
Enggan artis kesayangan terus dipandang serong, ZAFC menerusi satu hantaran Instagram memberikan pencerahan bahawa Zul tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan mana-mana selebriti wanita seperti yang didakwa ramai.
Difahamkan, penjelasan tersebut dikeluarkan susulan tular beberapa video memaparkan kemesraan antara pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu dengan aktres cantik, Ruhainies sehingga ada yang beranggapan mereka sudah berkahwin secara senyap-senyap.
“Seperti mana yang ramai tahu, kami di ZAFC jarang bersuara mengenai sebarang gosip yang bertebaran tetapi tidak kali ini. Kami sedar ada beberapa berita hangat tentang Zul yang melibatkan beberapa buah video yang telah dimuatnaik oleh sesetengah pihak.
“Ingin kami jelaskan, bahawa Zul masih lagi bujang dan belum bernikah dengan sesiapa,” katanya sekali gus ingin membersihkan nama pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu.
Tidak mahu Zul terus dihujani dengan gosip tersebut, ZAFC turut memohon orang ramai berhenti daripada terus menyebarkan cerita yang tidak benar.
“Beliau berkawan dengan ramai pihak dan kami amat berharap agar pihak di luar sana berhenti menguar-uarkan cerita termasuklah gosip murahan hanya untuk meraih perhatian.
“Kami sarankan agar anda gunakan masa dan kuasa media anda untuk perkara yang lebih bermanfaat. Selain itu, kami juga tidak sempurna dan begitu juga Zul.
“ZAFC juga tiada niat untuk memalukan sesiapa tetapi marilah sama-sama jadikan medan media ini sebagai wadah untuk saling mendukung antara satu sama lain,” jelasnya lagi.
Minggu lalu, nama Zul hangat diperkatakan dalam media sosial selepas tular video mesranya dan saling berpelukan bersama Ruhainies.
Kosmo! pada 23 Disember lalu turut menjelaskan bahawa hubungannya dengan Zul hanya teman rapat. – K! ONLINE