PUTRAJAYA – Satu jawatankuasa khas yang dibentuk pada 2019 akan mengemukakan laporan terperinci mengenai kajian pemansuhan pelaksanaan hukuman mati di negara ini dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dapatan hasil respons masyarakat itu juga bakal diserahkan segera selepas jawatankuasa itu selesai meneliti keputusan pemansuhan hukuman dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Beliau berkata, laporan kajian tersebut diharap dapat dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet dan keputusan terakhir ditetapkan selepas jemaah menteri berpuas hati dengan dapatan tersebut.
“Sekiranya berjalan lancar, rang undang-undang bagi penghapusan hukuman mati dan segala perundangan berkaitan akan dibawa ke Parlimen pada suku ketiga 2022 kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, Malaysia masih lagi disenaraikan dalam kelompok 54 negara di dunia mengekalkan hukuman mati, manakala 107 negara lain sudah pun memansuhkan tindakan penalti berkenaan.
Terdapat 33 kesalahan boleh disabitkan hukuman mati di Malaysia, antaranya kes pembunuhan, pengedaran dadah, rogol maut, aktiviti pengganas dan derhaka ke atas Yang di-Pertuan Agong.- K! ONLINE