fbpx

Jangan kusutkan lagi emosi mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

RAKYAT Malaysia sememang­nya terkenal dengan sifat pemu­rah, baik hati serta gemar membantu orang yang ditimpa kesusahan.

Keadaan itu boleh dilihat ke­tika lebih 60,000 penduduk ter­utama di Lembah Klang dan Pahang yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Ramai berpusu-pusu ma­suk ke kawasan bencana untuk meng­hulurkan bantuan bara­ngan termasuk khidmat membersihkan kawasan rumah.

Tidak kurang juga yang memberikan sumbangan pakaian terpakai kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.

Amalan itu sangat dipuji, namun apa yang dikesalkan apabila sebahagian pakaian terpakai yang disumbangkan tidak lagi boleh dipakai.

Ada yang dalam keadaan koyak rabak, lusuh, kotor dan berbau kusam dengan pakaian tersebut disumbat dalam plastik hitam bagaikan ‘sampah’.

Lambakan pakaian yang tidak boleh digunakan itu akhirnya menjadi bahan buangan.

Keluhan orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa hantaran Facebook, baru-baru ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penyumbang perlu memastikan bara­ngan yang mahu disumbang ber­ada dalam keadaan baik.

“Kita beri apa yang kita sa­yang, bukan apa yang kita mahu buang selain memastikan pene­rima tidak berasa dipandang rendah dengan pemberian sesuatu barangan tersebut.

“Jika barang itu sudah tidak elok, tidak perlulah disumbangkan kepada orang lain,” katanya.

Katanya, NGO yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan ju­ga boleh membantu mendidik masyarakat tentang cara dan adab untuk memberi sumba­ngan.

Sementara itu, Ketua Operasi Murtadha Dakwah Centre (Madad), Muhammad Ridzuan Osman berkata, lebih 100 sukarelawan digerakkan dalam misi bantuan banjir di kawasan terjejas banjir di Selangor dan Pahang.

“Kita membawa sumbangan barang makanan dan keperluan lain. Tiada pakaian terpakai dibawa kerana dibimbangi berlaku lambakan selain kesukaran untuk menguruskannya.

“Ketika berada di lokasi terjejas, kita juga melihat terdapat lambakan pakaian terpakai di pusat-pusat pengumpulan barangan yang jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diurus dengan baik, ia akan menjadi kusam dan berbau busuk,” katanya.

Selain itu, katanya, sepanjang menguruskan sumbangan barang terpakai sebelum ini, dia pernah menemui pakaian yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“Malah saya pernah jumpa baju yang berbau busuk selain pakaian dalam dengan getah yang sudah longgar.

“Kita tidak mahu beri kepada mangsa banjir pakaian seperti itu dan ketika ini kita beri sumba­ngan barang makanan kering, susu bayi, lampin pakai buang selain pakaian baharu,” ujarnya.

Katanya, masyarakat sepatut­nya mempunyai kesedaran untuk memberikan sumbangan bara­ngan terpakai yang masih elok dan bersih untuk dipakai.

“Asingkan setiap pakaian dalam plastik dengan letakkan label tertentu seperti pakaian untuk lelaki atau perempuan serta saiz bagi memudahkan agihan,” tambahnya.

Katanya, masyarakat perlu sedar kepentingan untuk memberikan sumbangan yang terbaik bagi meringankan beban mangsa.

“Emosi mangsa banjir masih tidak stabil kerana kebanyakan rumah terjejas teruk selain terpaksa menanggung kerugian harta benda yang besar,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI