PETALING JAYA – Bantuan berbentuk pinjaman untuk mangsa banjir, meskipun ditawarkan tanpa sebarang faedah bukanlah langkah penyelesaian kepada kemelut kewangan mereka kerana ia hanya akan menambah beban hutang mangsa tanpa mengambil kira hutang-hutang mereka sebelum ini.
Timbalan Presiden Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, pihak bank disarankan supaya menghapuskan baki hutang mangsa banjir yang paling teruk terjejas bagi memberikan peluang kepada mereka memulakan hidup baharu dan pada masa sama tidak dibelenggu komitmen kewangan mereka sebelum ini.
“Mangsa banjir kini berada dalam keadaan tersepit kerana ketika mereka perlu berbelanja untuk memulakan semula kehidupan, golongan ini akan dihimpit hutang lama dan baharu.
“Sedangkan pada masa sama, sembilan bank tempatan yang tersenarai di Bursa Malaysia telah merekodkan untung sebelum cukai berjumlah RM26 bilion pada tahun 2020,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahmed Razman menjelaskan, sekiranya langkah menghapuskan hutang dilihat terlalu ekstrem, pihak bank patut mempertimbangkan untuk menghapuskan faedah pinjaman yang perlu dibayar mangsa banjir, selain memberi moratorium bayaran balik pinjaman.
Selain itu, satu lagi bentuk sokongan yang layak diterima mangsa banjir adalah mereka sepatutnya tidak perlu membayar baki pinjaman kenderaan mereka sekiranya mengambil pembiayaan Islamik.
Menurutnya, pembiayaan kenderaan Islamik adalah bersifat sewa beli, yang mana sepanjang tempoh pembiayaan, pembeli sebenarnya hanya menyewa kenderaan daripada pihak bank.
“Sekiranya kenderaan tersebut sudah dikategorikan sebagai total lost dan tidak lagi dapat digunakan, sepatutnya peminjam tidak perlu lagi membayar sewa.
“Sekiranya pembeli mengambil pinjaman konvensional maka ini satu lagi perkara yang perlu diteliti,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berpandangan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah satu bentuk penyelesaian menyeluruh bagi membantu mangsa banjir kerana 6.1 juta pencarum di bawah usia 55 tahun kini memiliki kurang RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.
“Penyelesaian yang wajar kerajaan sepatutnya memberikan wang tunai RM10,000 kepada setiap isi rumah yang paling teruk terjejas banjir, jadi golongan yang tidak punya wang dalam KWSP turut menerima faedah.
“Menjelang akhir tahun ini, banyak kementerian akan memulangkan wang yang tidak dibelanjakan kepada kerajaan dan dana ini wajar dipertimbangkan untuk digunakan membantu mangsa banjir,” ujarnya.