PETALING JAYA- ‘Letak televisyen litar tertutup (CCTV) abang, kesian emak awak, semoga dipermudahkan’.
Itu antara cadangan dilontarkan orang ramai ketika memberi reaksi terhadap satu video TikTok yang memaparkan pakaian seorang wanita dibakar individu tidak dikenali di hadapan rumahnya.
Menerusi video dikongsi @Farez Adnan di TikTok , beliau menjelaskan pakaian dijemur ibunya di ampaian telah terbakar angkara perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab.
“Kesian emak kita, sudah dua kali orang bakar baju dia. Sudah 15 tahun emak sidai baju kat situ, tiada masalah selagi tidak mengganggu lalu lintas orang lain,” tulisnya ringkas.
Farez juga bekas peserta rancangan realiti Akademi Fantasia menjelaskan, perbuatan membakar baju oleh individu tidak bertanggungjawab itu turut dialami jiran yang berada di tingkat bawah.
Sementara itu, rata-rata pengguna TikTok menyarankan supaya keluarga itu membuat laporan polis berhubung insiden tersebut selain mencadangkan pemasangan CCTV bagi tujuan keselamatan.
“Letak saja CCTV, keluar modal sikit kalau pihak pangsapuri tidak mahu buat, saya juga sudah buat, “ saran @ Allann Katik.
“Buat laporan polis, biar pihak berkuasa siasat dan cari si pelaku,” jelas @Abu Bidin.
Video berkenaan turut tular di TikTok dengan mendapat tanda suka melebihi 105,000 kali selain menerima lebih 500 komen daripada pengguna.
Sebelum ini, Farez sering memaparkan video menunjukkan telatah ibunya yang juga digelar ‘mak cik petir’ di aplikasi berkenaan. -K! ONLINE