PUTRAJAYA – Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Pelabuhan Klang di Selangor berjaya memecahkan rekod jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarah pengoperasiannya.
Berita gembira itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sambil memaklumkan sebanyak 13.64 juta TEU dikendalikan pelabuhan tersebut setakat semalam.
“Jumlah berkenaan telah berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan mengatasi rekod pada 2019 lalu iaitu sebanyak 13.58 juta TEU,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Kejayaan itu menepati ramalan beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan dan Logistik Antarabangsa Kuala Lumpur 2021 di sini pada 21 Disember lalu.
Pelabuhan Klang yang dibuka penjajah British sekitar 1890-an, ketika ini mengandungi tiga terminal berbeza dan merupakan pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia dari segi kuantiti TEU.
Asalnya dikenali sebagai Port Swettenham sebelum diubah kepada nama sekarang pada 1972 lalu, ia kini termasuk dalam senarai 20 buah pelabuhan paling sibuk di dunia sejak 2003.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sebahagian besar kejayaan itu hasil komitmen dan usaha bersepadu pemain logistik dan agensi kerajaan yang diterajui Lembaga Pelabuhan Klang.
“Operator terminal iaitu Northport dan Westport terbukti menguruskan operasi dengan baik malah mengendalikan tambahan TEU dengan mengoptimumkan sumber sedia ada,” katanya.
Pencapaian cemerlang itu ujarnya, juga dibantu peningkatan penggunaan pendigitalan untuk mengatasi pelbagai cabaran semasa seperti impak isu Covid-19 dan bencana banjir besar. – K! ONLINE