SELAYANG – Padah mengugut bapanya hendak membakar rumah sekiranya tidak dibelikan burger, seorang lelaki dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohammad Adib Akmal Mohd. Sauffi, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Disember iaitu semalam.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Adib didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap Mohd. Sauffi Baharudin ,65, dengan mengugut hendak membakar rumah sehingga mendatangkan ketakutan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak di sini pukul 10 malam pada 27 Disember lalu (2021) yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana mangsa dalam kes ini adalah bapa kandung tertuduh.
“Sepatutnya sebagai anak, tertuduh sepatutnya menjaga bapa bukan mengugut hingga mendatangkan ketakutan,” kata pihak pendakwaan itu.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa keluar telah menerima panggilan daripada anaknya iaitu tertuduh yang telah menyuruhnya membelikan burger dan pulang segera ke rumah.
Pada masa sama, tertuduh turut berkata sekiranya mangsa tidak membelikan burger, dia mengugut untuk membakar rumah. Takut dengan keadaan itu, mangsa kemudian telah bertindak membuat laporan polis. – K! ONLINE