fbpx

Banjir: Tiada ban pecah di Taman Sri Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham (kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau (kiri) ketika melihat keadaan Pintu Air di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam hari ini. - FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menafikan dakwaan banjir teruk di Taman Sri Muda di sini, berpunca akibat ban pecah dan pembinaan sebuah projek perumahan berdekatan pintu air kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim menegaskan tiada sebarang ban pecah dikesan di taman itu kecuali limpahan air akibat hujan lebat.

Katanya, fenomena banjir kali ini dianggap luar biasa kerana menerima taburan hujan amat tinggi sehingga 400 milimeter (mm).

“Keadaan itu mengakibatkan air melimpah sehingga banjir teruk kerana kawasan Selangor biasanya hanya menerima hujan antara 80 hingga 100mm.

“Justeru, tiada ban pecah seperti yang didakwa malah kita akan menaik taraf lagi ban sedia ada di kawasan pintu air tersebut,” katanya selepas meninjau Pintu Air Taman Sri Muda di sini, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris mempersoalkan isu pembinaan sebuah projek perumahan baharu berdekatan kunci air tersebut yang didakwa menjadi punca utama banjir di Taman Sri Muda dan berlaku ban pecahan yang menyebabkan limpahan air Sungai Klang.

Jelas Izham, projek perumahan baharu itu sudah mendapat kebenaran merancang daripada MBSA pada 2015.

“Projek yang diluluskan pada 2017 itu mematuhi spesifikasi ditetapkan termasuk berkaitan faktor jarak dengan rizab dan mempunyai kolam takungan. Ia tiada kaitan langsung dengan punca banjir dan hanya menjadi mangsa keadaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan pintu air baharu bagi mengurangkan risiko banjir di Taman Sri Muda.

“Pintu air berkenaan kelak akan dilengkapi pam yang mampu mengepam keluar 5,100 liter air per saat.

“Selain itu, kita akan membeli mesin janakuasa bergerak bagi memastikan pintu air sedia ada terus berfungsi sekiranya bekalan elektrik terputus,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI