fbpx

Banjir: Penduduk kampung Orang Asli bimbang pulang ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masyarakat orang asli terpaksa bertindak membuat penempatan sendiri di atas bukit berikutan rumah terjejas akibat banjir teruk yang melanda di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, di sini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

DENGKIL – Sudah lebih tujuh hari banjir berlalu dan air di persekitaran rumah kembali surut, namun ada penduduk yang enggan pulang ke kediaman serta mengambil keputusan tinggal sementara di dalam khemah kerana bimbang kejadian bah berulang kembali.

Tinjauan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini mendapati, sebanyak 21 khemah didirikan di tempat tinggi di kampung tersebut dengan lokasinya berhampiran kawasan rumah mereka.

Penduduk turut memaklumkan, hampir setiap hari mereka dikunjungi oleh orang perorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menghulurkan sumbangan sekali gus bekalan makanan tidak putus-putus di situ.

Mangsa banjir, Eddi Jampo, 51, berkata, dia tinggal di khemah sejak kampung tersebut dilanda banjir pada 18 Disember dan sehingga kini enggan pulang ke rumah berikutan bimbang berlaku bah sekali lagi.

“Sebenarnya saya dah bawa pulang sebahagian barangan dari khemah ke rumah namun, hujan pula pada Isnin baru-baru ini dan air di luar rumah naik ke paras atas buku lali.

“Ditambah lagi terbaca berita berlaku banjir kilat di Kajang kerana hujan lebat. Jadi saya pindahkan barangan ke khemah semula kerana bimbang kejadian bah berulang sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Eddi yang juga pekerja landskap di Putrajaya berkata, kampung tersebut sering dilanda banjir tetapi hanya setakat di luar rumah serta tidak memasuki ke kediaman penduduk namun, kejadian baru-baru ini adalah yang terburuk kerana air naik hampir mencecah ke siling.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI