fbpx

Urusan tergendala selepas jambatan runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (tiga kiri) meninjau kerja-kerja membaik pulih jambatan pekan Dengkil yang runtuh di sini, hari ini - FOTO: FAISOL MUSTAFA

DENGKIL – “Ibarat putus nyawa,” luah penduduk Kampung Orang Asli Sri Tanjung, Pasah Ismail, 37, berhubung masalah dihadapi komuniti di daerah Sepang terutama di sini berhubung jambatan di pekan Dengkil yang runtuh sejak 17 Disember lalu.

Menurutnya, penutupan jambatan tersebut sebelum bencana banjir menyebabkan urusan penduduk tergendala terutama untuk membeli barangan dan menyelesaikan perkara penting di pekan.

“Untuk saya yang hari-hari perlu ke pekan, apabila tiada jambatan ini… ia ibarat putus nyawa. Penduduk terpaksa melalui jalan jauh dan masuk ke laluan utama Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil.

“Sudahlah sewaktu banjir dan laluan Kota Warisan ditutup, kami terkepung tak boleh nak keluar mencari sumber makanan. Sekarang banjir dah surut, berdepan pula masalah jambatan runtuh di sini,” katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke lokasi jambatan runtuh tersebut di sini hari ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia memikirkan anak-anak penduduk di kawasan tersebut yang mahu ke sekolah kerana perlu melalui jalan jauh yang sering sesak dengan kenderaan.

“Kami berharap proses membaik pulih jambatan ini dapat berjalan lancar supaya ia siap segera untuk kegunaan dan kemudahan penduduk di sekitar sini kerana ini salah satu ‘nyawa’ penduduk,” katanya.

Pembantu kedai, Mohd. Azman Md. Zamri, 46, yang juga penduduk Kampung Sri Tanjung, Dengkil berkata, dia terpaksa melalui jalan sejauh kira-kira 15 kilometer (km) untuk ke pekan dan sudah tentu ia mengambil masa berbanding sebelum jambatan itu runtuh.

“Jambatan ini laluan utama untuk penduduk bukan sahaja ke pekan Dengkil, malah ke daerah Kuala Langat untuk menyelesaikan urusan. Selain itu, Klinik Kesihatan Dengkil juga di dalam pekan dan memanglah ada klinik swasta lain tetapi perlu mengeluarkan kos.

“Saya ada empat anak kesemuanya berusia antara 13 hingga tujuh tahun, jadi sekiranya jambatan ini siap sepenuhnya, ia memudahkan ibu bapa untuk menghantar ke sekolah kerana lebih dekat berbanding menggunakan laluan Kampung Dato Ahmad Razali,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI