LANGKAWI – Kalangan pelancong mengeluh apabila sukar untuk mendapatkan tiket feri pergi balik dari pulau peranginan ini kerana perjalanan pengangkutan tersebut didakwa terpaksa dihadkan kerana masalah alur pelayaran cetek.
Keadaan itu menjadi serius pada masa ini apabila ramai pelancong mahu berkunjung ke Langkawi sempena cuti sekolah.
Tinjauan di kaunter Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini mendapati tiket feri bagi laluan Kuala Perlis telah habis dijual bagi tarikh 21 Disember lalu hingga hari ini dengan notis pemberitahuan ditampal di kaunter.
Semakan jadual feri di laman web cuticutilangkawi.com mendapati hanya ada empat perjalanan feri sahaja masing-masing bagi Terminal Feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi dalam sehari.
Sebelum ini, perjalanan feri boleh mencecah 10 perjalanan sehari bagi setiap laluan berbanding empat perjalanan bagi setiap laluan pada masa ini.
Pengunjung dari Pulau Pinang, Stanley Lim, 30, berkata, dia hendak membeli tiket pulang melalui Terminal Feri Kuala Kedah, namun tiket telah habis dijual.
“Saya sampai pada pukul 7.30 malam semalam (kelmarin) dan hendak membeli tiket sebaik turun dari feri tetapi kaunter tiket sudah ditutup.
“Mungkin saya terpaksa menaiki feri RORO (Roll-On, Roll-Off) ke Kuala Perlis dan sewa teksi untuk ke Kuala Kedah yang pastinya menelan belanja,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya telah beberapa kali memohon kepada Jabatan Laut untuk menambah perjalanan feri, namun ditolak atas alasan keselamatan.
“Jabatan Laut tidak benarkan kerana faktor air cetek di Terminal Feri Kuala Perlis yang akan meningkatkan risiko feri terkandas,” katanya. -K! ONLINE