PASUKAN Thailand mencipta sensasi tersendiri apabila melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki 2020 selepas menyingkirkan juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir menerusi keputusan agregat 2-0.
Pada aksi separuh akhir kedua kelmarin, Thailanad berjaya mempertahankan kelebihan dua gol yang diperoleh pada aksi pertama dengan mengekang asakan bertali arus Vietnam apabila saingan di Stadium Nasional berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Pengendali Thailand, Alexandre Polking percaya pasukannya masih belum boleh mendabik dada meskipun berjaya melangkah ke pentas final selain percaya pertemuan menentang Indonesia malam esok dijangka lebih sukar.
“Saya bangga dengan apa yang pasukan pamerkan sepanjang dua pusingan separuh akhir apabila menyingkirkan skuad berkualiti seperti Vietnam yang juga juara bertahan.
“Mungkin aksi kali ini berbeza sedikit dengan aksi pertama ketika kami menang 2-0 minggu lalu kerana pasukan lebih menumpukan aspek pertahanan dan saya lihat semua pemain memberikan komitmen 100 peratus.
“Tekanan yang diberikan oleh Vietnam sangat luar biasa tetapi pasukan saya cukup berdisiplin dan mendengar arahan taktikal yang saya terapkan dengan begitu sempurna,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mengakui penyingkiran tersebut bukanlah pengakhiran dominasi pasukan sebaliknya menyeru barisan pemain untuk tampil lebih garang tahun depan.
“Secara jujur, kekalahan ini agak pahit untuk ditelan tetapi ini lumrah bola sepak. Saya masih percaya pasukan Vietnam tetap menjadi salah satu pasukan yang digeruni di rantau ini,” kata pengendali Korea Selatan itu.