PENCAPAIAN pada Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei bakal menentukan peluang barisan atlet olahraga kebangsaan untuk mewakili Malaysia ke pentas Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.
Perkara itu diakui ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd. Manshahar Abdul Jalil yang menggesa atlet-atlet agar memanfaatkan tempoh masa sekarang supaya dapat memberikan prestasi terbaik di Hanoi nanti.
Ini kerana Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil dua minggu lalu tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai kemampuan dan potensi sebenar setiap atlet selepas lama tidak bertanding disebabkan Covid-19.
“Prestasi atlet pada kejohanan tertutup olahraga adalah memuaskan selepas mereka terpaksa beraksi dalam keadaan cuaca hujan. Mereka boleh memperbaiki prestasi supaya tambil lebih meyakinkan pada kejohanan akan datang.
“Namun, saya yakin kita mampu meraih pingat emas seperti dimenangi pada edisi Sukan SEA terdahulu apabila setiap atlet melakukan persiapan lebih rapi nanti,” katanya.
Sebagai rekod, skuad olahraga negara berjaya meraih lima pingat emas, sembilan perak dan tujuh gangsa pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Lima pemenang emas ketika itu ialah Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100 meter (m), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Irfan Shamsudin (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).
Jika berjaya meraih pingat di Hanoi tahun depan, peluang mereka pastinya lebih cerah untuk menggalas cabaran ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China (10 – 25 September).