fbpx

Srikandi kesihatan mental, Simone Biles dinobat Athlete of the Year 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bintang gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles yang bergelut dengan kesihatan mental dinobatkan Athlete of Year oleh majalah TIME baru-baru ini.

MENGGALAS tanggungjawab besar kepada negara, kesan trauma emosi masa lampau dan kehilangan keluarga secara mengejut bukan mudah untuk ditanggung oleh atlet gimnastik artistik Amerika Syarikat (AS), Simone Biles sehingga dia bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Bintang muda gimnastik berusia 24 tahun itu bukan calang-calang kerana dia telah menggondol pelbagai pingat di peringkat dunia termasuk cemerlang di pentas Olimpik sehingga wanita tersebut menjadi harapan negaranya.

Meraih tujuh pingat Olimpik termasuk empat pingat emas dalam edisi Olimpik Rio 2016, aksi tangkas dan jitu Biles dalam lapangan gimnastik memang cukup memukau siapa sahaja yang menyaksikannya.

Anak kelahiran Columbus, Ohio, AS itu adalah pemenang pingat terbanyak di dunia (kategori gimnastik artistik) dengan 32 pingat meliputi sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Siapa sangka pencapaian luar biasa yang diraih Biles itu menuntut pengorbanan besar sehingga dia terpaksa menyimpan sendiri masalah kesihatan mental semata-mata untuk menjadi kebanggaan negara serta memenuhi harapan para peminat.

Namun, tekanan mental yang dialaminya tidak tertahan lagi sehingga ia ‘meletus’ ketika Biles dan pasukannya menyertai sukan Olimpik Tokyo Jepun pada Julai lalu apabila wanita itu tiba-tiba menarik diri pada perlawanan akhir berpasukan sekali gus AS gagal mempertahankan emas edisi lalu.

Susulan keberaniannya mengakui dan mengetengahkan isu kesihatan mental, wanita itu terus dikagumi ramai.

BILES cuba mendapatkan ketenangan diri sewaktu hendak melakukan suatu aksi gimnastik.

Bahkan, pada penghujung tahun ini dia telah dinobatkan gelaran Athlete of The Year oleh majalah berprestij TIME biarpun gagal mempamer pencapaian sehebat masa lalu dalam Olimpik tahun ini.

“Saya tidak mempercayai diri sendiri seperti dahulu. Saya berasa lebih gementar ketika membuat gimnastik dan tidak berasa seronok lagi,” kata Biles saat menceritakan hal sebenar yang menjadi punca penarikan dirinya dalam kejohanan sukan tersebut.

Walaupun menghampakan acara berpasukan, dia tetap meneruskan pertandingan akhir batang titian individu dan memenangi gangsa di Olimpik Tokyo.

Biles dengan rasa sedih menyatakan dia cuma mengambil keputusan untuk bertanding dalam batang titian individu setelah disahkan sesuai untuk menyertainya.

“Setiap hari saya perlu dinilai secara perubatan oleh doktor dan dua sesi bersama pakar psikologi. Saya diberi pelepasan untuk menyertai hanya acara itu,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut menjelaskan masalah kesihatan mentalnya itu dalam sebuah temu bual bagi rancangan jelajah Gold Over America yang disertai.

Dalam temu bual itu, Biles menceritakan dia bergelut dengan satu fenomena psikologi yang dinamakan twisties dan sehingga kini masih takut untuk melakukan gimnastik.
Twisties ialah gangguan mental berbahaya yang mana gimnas boleh kehilangan deria dan dimensi sewaktu beraksi di udara.

Ketika membuat keputusan menarik diri di Olimpik itu Biles turut mengakui mengalami tekanan berat sebagai bintang utama sukan Olimpik, namun dia memilih untuk memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada diri sendiri kerana akhirnya kita hanya manusia biasa. Oleh itu, kita perlu melindungi minda dan badan. Bukannya tampil untuk melakukan seperti yang dunia mahukan,” tutur wanita berketinggian 142 sentimeter itu.

Biles berkata, dia tidak berada dalam keadaan yang baik untuk meneruskan pertandingan ketika di Tokyo.

Katanya, fenomena twisties sangat misteri kerana tiba-tiba sahaja seorang gimnas tidak dapat melakukan kemahiran memutar badan yang pernah dilakukan beribu kali sebelum ini.

BERGELUT dengan masalah mental, Biles mengejutkan ramai apabila memilih untuk menarik diri pada sukan Olimpik Tokyo pada Julai lalu.

“Badan anda tidak mahu memberi kerjasama, manakala otak pulak hilang jejak ketika berada di udara. Anda hanya tersedar apabila sudah terhempas di atas lantai,” jelasnya.

Biles mengakui, bercakap mengenai kesihatan mental adalah bahagian paling sukar baginya.

“Oleh itu, sangat penting kita mempunyai sistem sokongan dan mengetahui bahawa orang lain ada bersama anda,” katanya yang kini banyak memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.

Sedar akan kepentingan kesihatan mental itu dia telah melakukan penjelajahan di seluruh AS untuk memberi kesedaran mengenainya.

“Tidak mengapa kita jatuh seketika kerana itulah cara untuk bangkit kembali. Jangan teruskan paksa diri untuk hidup dalam situasi yang tertekan dan tidak disukai,” ulasnya.

Dalam satu temu bual bersama CNN pula, Biles mendedahkan dua hari sebelum beraksi di Olimpik, ibu saudaranya mati secara mengejut.

“Ia juga bukanlah suatu yang saya jangka terjadi semasa Olimpik. Saya harap semua orang menjaga kata-kata di media sosial kerana anda tidak tahu apa yang telah dilalui atlet,” katanya.

Rakan sepasukannya, Sunisa Lee mengagumi tindakan Biles.

“Apa yang dia lakukan mengubah cara kita melihat kesejahteraan diri 100 peratus. Dia menunjukkan bahawa diri kami adalah lebih penting daripada sukan. Kami manusia biasa yang adakalanya melalui waktu sukar. Dia ‘memanusiakan’ kami,” katanya.

Seorang jurulatih gimnastik, Christina Myers menerangkan twisties adalah keadaan di mana otak dan badan tidak ‘seirama’.

“Bayangkan aktiviti payung terjun tetapi payungnya tidak boleh dibuka.

“Ia adalah keadaan otak benar-benar ingin melakukan apa yang sepatutnya tetapi tubuh tiba-tiba mempunyai pemikiran sendiri,” katanya.

Jelasnya, keadaan ini adalah suatu gangguan psikologi yang mana semakin kita berusaha melawannya, ia akan lebih teruk menyerang.

Kata Myers, selama ini, penyakit mental sebegitu bagaimanapun tidak dilihat sebagai alasan yang sah untuk bersara daripada sukan tersebut.

Disebabkan itulah banyak atlet yang memaksa diri melawannya dengan terus bertanding lalu akhirnya menyebabkan diri sendiri mengalami kecederaan teruk dan berakhirlah karier.

Bekas ahli pasukan gimnastik AS, Aly Raisman berkata, adalah mustahak memikirkan betapa banyak tekanan ke atas diri Biles, tetapi ramai orang memandang ringan perkara tersebut.

“Dia hanya manusia biasa dan saya fikir kadang-kadang orang terlupa bahawa dia sama seperti orang lain yang melakukan sehabis baik mengikut kemampuannya sendiri.

“Kesan emosi yang ditanggung oleh Biles sangat besar dan ia sangat mengerikan,” ulasnya.

Sementara itu, pada September lalu, Biles memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kehakiman Senat berhubung kes penderaan seksual oleh bekas doktor pasukan gimnastik AS, Larry Nassar.

Biles bersama Raisman, McKayla Maroney dan Maggie Nichols didakwa telah didera secara seksual oleh bekas doktor tersebut.

“Selama bertahun-tahun saya melalui semua ini dan saya gembira kerana menjadi ‘pemimpin’ bagi mereka yang terselamat untuk menegakkan kebenaran.

“Saya bangga kerana menjadi suara mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI