LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji kecemerlangan prestasi barisan pemainnya selepas berpesta gol membelasah kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Norwich City 5-0 di Carrow Road kelmarin.
Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut berjaya dicatatkan The Gunners sejak tewas 1-2 kepada Everton di Goodison Park pada 7 Disember lalu.
“Saya gembira dengan situasi semasa pasukan kerana bukan mudah untuk anda menang apabila beraksi di tempat lawan. Saya juga teruja apabila kami dapat menguasai keseluruhan perlawanan ini.
“Sekarang pasukan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran diletakkan musim ini. Saya harap kecemerlangan kami ini berterusan tanpa ada sebarang gangguan tidak diingini,” kata Arteta.
Lima gol Arsenal diperoleh menerusi dua jaringan Bukayo Saka dan masing-masing satu daripada Alexandre Lacazette, Kieran Tierney serta Emile Smith Rowe.
Menariknya, ia adalah gol peribadi kelapan Smith Rowe dalam saingan EPL dan pada masa sama merupakan jaringan ketiga berturut-turut selepas dimasukkan sebagai pemain simpanan.
Sementara itu, pengendali Norwich, Dean Smith kecewa dengan prestasi hambar para pemainnya yang turut dicemuh oleh penyokong-penyokong sendiri sepanjang aksi tersebut.
“Kami boleh bermain dengan lebih bagus tetapi kami terlalu menghormati Arsenal. Hasilnya, kami gagal memberikan tentangan kepada Arsenal hari ini,” jelasnya. – AGENSI