MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang mendahului perlumbaan untuk mendapatkan ‘wonderkid’ Jerman, Florian Wirtz yang beraksi bersama Bayer Leverkusen ketika ini.
Pemain berusia 18 tahun itu dianggarkan bernilai £60 juta (RM336.99 juta) dan memulakan debut bagi saingan Bundesliga ketika berusia 17 tahun dan sudah memiliki kap bersama skuad kebangsaan Jerman.
Potensi dan bakat yang dimiliki Wirtz berjaya menarik perhatian Pengurus United, Ralf Rangnick, namun ia bukan tugas mudah kerana beberapa pasukan gergasi Eropah lain sudah mula sedar mengenai kemampuan pemain ini.
Wirtz yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang dilihat sebagai individu yang akan melengkapkan posisi berkenaan buat United yang akan digandingkan bersama Bruno Fernandes.
Bagaimanapun, dia kini memiliki kontrak bersama Leverkusen sehingga 2026 dan perpindahan pada Januari ini mungkin dilihat sebagai suatu yang mustahil terutama ketika pasukan itu mengesahkan bahawa mereka mahu Wirtz terus kekal.
Musim ini menyaksikan Wirtz sudah meledak lima gol dan lapan umpanan jaringan selain berjaya menjadi salah seorang pemain yang menonjol dalam saingan Liga Europa dengan tiga gol dan lima umpanan gol.
Rangnick yang merupakan pakar dan mempunyai rangkaian yang hebat dengan bola sepak Jerman turut dilaporkan memantau tiga lagi bakat muda, Luca Netz dari RB Leipzig, Eric Martel (Bochum) dan Armel Bella-Kotchap (Borussia Monchengladbach). – AGENSI