LONDON – Satu kaji selidik baharu mendapati bahawa Putera Harry dan isteri, Meghan Markle muncul sebagai pasangan diraja yang paling mendapat perhatian pada tahun 2021, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kajian oleh laman permainan online, Lucky Creek itu menganalisis data aplikasi Google Trends sejak beberapa tahun lalu untuk menentukan pasangan diraja yang paling banyak mendapat carian di internet.
Hasil pemerhatian mendapati, berita mengenai pasangan yang bergelar Duke dan Duchess of Sussex itu menerima pencarian sebanyak 64 peratus sekali gus lebih banyak berbanding gabungan pasangan-pasangan diraja lain.
Selain itu, pencarian mengenai mereka turut melebihi 367 peratus berbanding pencarian Putera William dan Kate Middleton.
Menurut kaji selidik tersebut, minat orang ramai kepada Harry dan Meghan melonjak ketika temu bual kontroversi mereka bersama Oprah Winfrey pada Mac lalu. Wawancara itu menjadi tajuk utama akhbar dan media di seluruh dunia.
Temu bual itu muncul sebagai momen diraja 2021 yang paling banyak diperkatakan, dengan menerima carian sebanyak 566 peratus melebihi peristiwa diraja lain.
Ia bahkan mengatasi carian mengenai kemangkatan Putera Philip yang merupakan nenda Harry. Berita kemangkatan Duke of Edinburgh itu berada di tempat kedua sebagai peristiwa diraja paling banyak diperkatakan pada tahun ini.
“Tindakan Harry dan Meghan yang melepaskan gelaran diraja pada tahun lepas telah mengejutkan dunia.
“Tahun ini menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada keluarga diraja Britain, dan adalah sesuatu yang menarik apabila melihat wawancara Harry dan Meghan bersama Oprah menjadi momen diraja paling menarik bagi tahun ini,” kata seorang jurucakap Lucky Creek. – AGENSI