KULAI – Seramai lima lelaki warganegara Myanmar ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan yang mengakibatkan rakan senegara mereka maut ditikam dalam satu kejadian, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan perkara itu daripada seorang pengadu memaklumkan kejadian pada pukul 9 malam.
Katanya, polis yang bertindak bergegas ke lokasi kejadian di Hostel Pekerja, Taman Scientex, Senai mendapati mangsa berusia 25 tahun sudah tidak bernyawa.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian dada dan rusuk mangsa dipercayai akibat ditikam. Turut dijumpai di lokasi adalah sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Sehubungan itu, pihak polis telah menjalankan dua serbuan di Johor Bahru dan Melaka pada pukul 11 pagi, semalam dan berjaya menahan lima suspek berusia antara 20 hingga 43 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, berdasarkan siasatan terhadap suspek, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan pergaduhan antara mereka selepas meminum minuman keras sehingga mabuk.
“Kesemua suspek yang ditahan kini dikenakan reman selama enam hari sehingga 2 Januari oleh Mahkamah Majistret Kulai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE