fbpx

Kos 10 bencana termahal lebih RM700 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA bertindan selepas banjir semakin surut di bandar Verviers, Belgium pada 15 Julai 2021. - AFP

PARIS –  Sebanyak 10 bencana alam paling mahal pada tahun ini menyebabkan kerugian lebih AS$170 bilion (RM711.7 bilion)  atau AS$20 bilion(RM83.7 bilion)  lebih tinggi  berbanding 2020, kata sebuah kumpulan bantuan Britain semalam.

Pada setiap tahun, badan amal Britain, Christian Aid mengira kos bencana alam disebabkan cuaca seperti banjir, kebakaran dan gelombang haba berdasarkan tuntutan insurans dan melaporkan keputusannya.

Pada 2020, ia mendapati 10 bencana alam paling mahal di dunia menyebabkan kerugian berjumlah AS$150 bilion (RM627.9 bilion) sekali gus menyaksikan kos ada tahun ini meningkat 13 peratus.

Christian Aid berkata, trend peningkatan tersebut membayangkan impak perubahan iklim yang berpunca daripada perbuatan manusia. Menurutnya, 10 bencana alam termahal itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya 1,075 mangsa dan menyebabkan 1.3 juta orang hilang tempat tinggal. 

Bencana paling mahal tahun ini ialah Taufan Ida yang membadai timur Amerika Syarikat dan mendatangkan kemusnahan mencecah AS$65 bilion (RM272.1 bilion). Selepas menghentam negeri Louisiana akhir Ogos lalu, Ida bergerak ke utara dan menyebabkan banjir besar di Bandar Raya New York serta kawasan sekitarnya.

Di tempat kedua adalah banjir besar yang melanda Jerman dan Belgium pada Julai lepas dengan kerugian berjumlah AS$43 bilion (RM180 bilion).

Ia diikuti oleh cuaca sejuk melampau dan ribut salji yang menjejaskan grid tenaga elektrik di Texas dengan kerugian mencecah AS$23 bilion (RM96.2 bilion). Banjir  di  wilayah Henan, China pada Julai lepas pula menyebabkan kerugian sekitar AS$17.6 bilion (RM73.6 bilion).

Bencana lain yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar termasuk banjir di Kanada, cuaca sejuk beku pada lewat musim bunga di Perancis dan ribut siklon di India serta Bangladesh pada Mei 2021.

Laporan sama bagaimanapun mengakui bahawa  penilaian kerosakan itu kebanyakannya dilakukan di negara-negara kaya di mana infrastrukturnya telah diinsuranskan, manakala kos bencana di negara-negara miskin sukar untuk dikira. 

Ia memberi contoh Sudan Selatan di mana banjir telah menjejaskan kira-kira 800,000 orang.

“Sesetengah bencana paling dahsyat pada 2021 melanda negara-negara miskin yang tidak banyak ‘menyumbang’ kepada perubahan iklim dunia,” kata badan amal itu dalam siaran akhbarnya.

Pada pertengahan Disember 2021, penginsurans terbesar dunia, Swiss Re menganggarkan bencana alam dan cuaca ekstrem menyebabkan kerugian sekitar AS$250 bilion (RM1.04 trilion) tahun ini.  – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI