MANCHESTER – Manchester City nampaknya semakin sukar digugat selepas membelasah Leicester City 6-3 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad malam kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan The Citizens mengukuhkan cengkaman di persada liga, enam mata meninggalkan pencabar terdekat, Liverpool yang turun menentang Leicester awal pagi esok.
Pada perlawanan itu, Raheem Sterling menjaringkan dua gol sementara empat lagi gol dijaringkan Kevin De Bruyne, Riyad Mahrez, Ilkay Gundogan dan Aymeric Laporte.
Pengurus City, Pep Guardiola bagaimanapun, sedikit terperanjat apabila The Foxes bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua menerusi James Maddison, Ademola Lookman dan Kelechi Iheanacho bagi merapatkan kedudukan 4-3.
“Satu perlawanan yang menarik dan kami berjaya dapatkan tiga mata. Saya sangat gembira dengan kualiti yang ditunjukkan pemain-pemain City untuk menjaringkan enam gol.
“Ketika kedudukan 4-0, mereka mengubah taktikal dan bermain lebih baik. Saya akui ia sangat berbahaya kerana mereka melancarkan serangan demi serangan ke arah pintu gol kami,” kata beliau.
Meskipun Leicester bangkit dengan tiga gol, namun dua gol yang dijaringkan Laporte dan Sterling pada penghujung perlawanan membunuh harapan pasukan itu. – AGENSI