IPOH – Kutipan lebih RM300,000 bagi membantu mangsa banjir berjaya dikumpul hasil sumbangan jemaah di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, jumlah tersebut hasil kutipan sehari pada Jumaat lalu membabitkan 622 masjid dan 63 surau diri Jumaat.
Katanya, hasil sumbangan awal akan diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Perak iaitu di Changkat Jong dan Padang Rengas.
“Kutipan sehingga semalam mencecah RM306,000. Jumlah ini belum merangkumi semua kerana masih ada masjid dan surau yang belum selesai membuat serahan.
“Insya-Allah, akan ada lagi serahan oleh pihak masjid dan surau diri Jumaat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
JAIPk melalui satu notis dikeluarkan 22 Disember lalu meminta supaya masjid dan surau diri Jumaat di seluruh negeri menyediakan tabung khas pada Jumaat lalu bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Hasil kutipan tabung berkenaan akan disalurkan ke Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan. – K! ONLINE