PETALING JAYA – Berang diri dan suami menjadi mangsa content sebuah akaun TikTok, aktres Izreen Azminda menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap netizen yang menabur fitnah tentang rumah tangganya.
Perkara tersebut ditegaskan Izreen, 36, selepas tular sebuah hantaran TikTok yang memaparkan Ude tidak mengikuti akaun Instagram Izreen.
Menyelar tindakan tersebut, pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu memjelaskan dia mahupun Ude tidak pernah mengikuti satu sama lain dalam media sosial walaupun sudah bergelar suami isteri.
“Demi secebis content, sudah berzaman kami tidak mengikuti akaun masing-masing, apa masalah?
“Kami sihat sejahtera di sini. Adakah kami perlu muat naik foto bersama setiap lima minit dan baru boleh dikategori sebagai pasangan bahagia?” selarnya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Kecewa dengan perkara tersebut, dia turut menyelar tindakan individu tersebut kerana memuat naik sebuah kandungan yang boleh mengundang tanggapan negatif daripada orang ramai.
“Anda pula yang lebih-lebih kerana muat naik tentang perkara lalu. Sakit ke?
“Ingat ya, berkongsi perkara sebegini yang boleh mengundang komen-komen negatif, hinaan dan menjatuhkan aib boleh didakwa!
“Semua orang sudah ada kehidupan masing-masing tetapi anda pula yang menggelabah tersekat dalam kehidupan orang lain. Sudah lama aku senyap dengan orang seperti ini, nak kena ambil tindakan juga,” katanya lagi.
Dalam pada itu, selang beberapa jam, Izreen turut memuat naik tangkap layar memaparkan hantaran dan akaun TikTok tersebut telah dinyahaktif.
Tambah Izreen, dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara sama berulang lagi.
“Kenapa padam? Ingatkan berani sangat, bukan main hebat lagi sebelum ini.
“Selepas ini jika ada lagi mana-mana akaun buat begini, aku nak lakukan kerja diam-diam sahaja. Tiba-tiba surat saman sampai pada anda,” tegasnya.
Sejak semalam, tular sebuah video dengan memaparkan tangkap layar senarai pengikut Instagram Ude.
Dalam video tersebut, pemilik akaun berkenaan memaparkan Ude tidak mengikuti akaun Instagram isterinya sekali gus mengundang pelbagai andaian negatif daripada netizen mengenai status rumah tangga mereka.
Terdahulu, pada 21 Oktober lalu Kosmo! melaporkan Ude yang juga seornag pemuzik menyelar sikap netizen yang masih berterusan mengganggu Izreeen dengan cacian dan makian berhubung kisah lamanya.
Hasil perkongsian hidup bersama Ude, Izreen dikurniakan dua orang anak lelaki, Aaron Ibrahim, 2, dan Ali Idrees Muhammad Radzi yang kini berusia tiga bulan.
Pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin.
Sebelum ini, perkahwinan pasangan berkenaan pernah mencetuskan kontroversi selepas Izreen membuat pendedahan tentang pernikahan mereka yang dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Ude, Intan Liana Saleh.
Kedua-duanya sempat bermadu namun Ude kemudian melafazkan talak satu kepada Intan pada 22 Mac 2018 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, selepas lima bulan tidak tinggal sebumbung.
Sementara itu, pada 21 Disember lalu, Intan yang juga usahawan selebriti kembali hidup berdua apabila selamat bernikah dengan lelaki pilihan hati, Aizam Yahya di Sky Grand Ballroom di Jalan Ampang.– K! ONLINE