AMSTERDAM – Sebuah bangunan berwarna-warni di bandar Zaandam, Belanda yang kelihatan seperti bangunan Lego ternyata merupakan sebuah hotel sebenar, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Seorang jurugambar dron, Rutger den Hertog berkata, dia terdetik untuk merakam Hotel Inntel selepas menonton satu rakaman video yang menunjukkan bangunan unik itu di internet.
“Apabila saya melihat binaan ini dalam aplikasi pemetaan Google Earth, saya fikir ia kelihatan sangat unik dari udara. Saya kemudian menggunakan dron untuk merakam imej hotel tersebut,” katanya.
Menurut laman web Archello.com, hotel tersebut merupakan tarikan unik di Zaandam.
Hotel itu adalah setinggi dua belas tingkat dan pada asasnya, berbentuk segi empat sama.
Ia merupakan susunan monumental dan tafsiran pelbagai jenis rumah berwarna hijau yang merupakan satu pemandangan biasa di wilayah Zaan. – AGENSI