PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berganding menyediakan makanan siap dimasak bagi disumbang kepada mangsa banjir di daerah Kuantan, Pahang.
Uniknya, agensi tersebut turut menawarkan hampir satu tan pelbagai jenis sayur antaranya kubis, kentang, tomato, lobak, halia, bawang kecil dan besar yang bernilai lebih RM3,000.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri, kesemua bahan itu dimasak secara bergotong royong dengan 30 pelajar dari Kolej Yayasan Pahang di Kuantan dari jurusan kulinari dipantau tenaga pengajar bertauliah dalam bidang penyediaan sajian.
“Kami turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia melibatkan sepasukan 10 anggota dari Kor Perkhidmatan Diraja di Kem Batu 10, Kuantan. Setelah selesai memasak makanan itu, kemudian diagihkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah tersebut.” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Pengarah FAMA negeri, Saiful Sadri berkata, program inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di bawah program MAFI Prihatin Banjir Pahang 2021 menyediakan menu terbaik pada kos rendah melalui peruntukan sebanyak RM18,000 meliputi seramai 18,000 ketua isi rumah yang terjejas bencana seluruh negeri itu. – K! ONLINE