SELEPAS mengharum sebagai penyanyi rap wanita yang berkolaboratif dengan ramai penyanyi popular, Bunga Isme tidak mahu kembangnya statik.
Lantas, buat pertama kalinya Bunga menyahut tawaran keluar dari kepompong sedia ada menerusi sebuah lagu Mandarin berganding dengan sahabatnya, Layla Sania.
Bagaikan rezeki terpijak, pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari itu menyifatkan lagu berjudul Bambino tersebut sebagai taruhan berbeza berbanding karyanya sebelum ini.
“Ini adalah lagu berbahasa Mandarin pertama untuk saya. Sebelum ini, sejak dari tadika, saya bersekolah di sekolah Cina. Jadi, saya sememangnya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.
“Cuma disebabkan sudah lama tidak bertutur dalam bahasa Mandarin kemahiran tersebut berkarat. Jadi, untuk menghafal lirik serta memahami lagu ini agak mencabar.
“Saya mengambil masa sehari untuk menghafal dan berlatih selama tiga hari sebelum menjalani sesi rakaman yang memakan masa selama satu hari sahaja,” kata Bunga usai pelancaran single Bambino baru-baru ini.
Bambino ditulis oleh komposer tempatan yang pernah bekerja dengan artis antarabangsa iaitu Chen Hai Wei dan Sun Pei Jia.
Tambah Bunga, 21, bahasa Mandarin memiliki keindahan tersendiri. Oleh sebab itu, dia mengalami kesukaran untuk memahami maksud lirik lagu berkenaan pada peringkat awal kerana penggunaan bahasa yang mendalam dan cukup tinggi sasteranya.
“Sama seperti bahasa Melayu yang ada peribahasa, pantun dan sebagainya, Mandarin juga bahasa yang indah. Apa yang mencabar adalah setiap perkataan ada cara sebutan dan bunyi berbeza.
“Kalau salah cara sebutan dan bunyinya, boleh membawa maksud yang berbeza. Jadi, saya berlatih untuk betulkan sebutan saya,” ujar Bunga.
Sungguhpun begitu, Bunga bersyukur sahabatnya Layla Sania yang cukup popular dalam pasaran lagu Mandarin tempatan banyak membantunya.
“Selepas berjumpa Layla dan dia terangkan maksud-maksud di sebalik lirik lagu Bambino segalanya jadi mudah.
“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan sahabat sendiri,” kata Bunga.
Jelas Bunga lagi, Bambino merupakan lagu pertama yang lirik bahagian rap bukan hasil tulisannya sendiri.
“Semua lagu yang saya nyanyikan tidak kira single sendiri mahupun kolaborasi dengan penyanyi lain, lirik bahagian rap adalah hasil tulisan saya sendiri.
“Berbeza dengan Bambino, sudahlah dalam bahasa Mandarin, liriknya juga bukan tulisan saya.
Agak mencabar, namun saya berjaya melakukannya dengan baik,” tutur Bunga.
Sahabat
Layla Sania, 19, yang sudah melahirkan dua single Mandarin sebelum ini, Traveler dan By Your Side pula mengakui gementar dan teruja ketika pertama kali menerima lagu Bambino.
Bagi, genre Bambino sangat berbeza berbanding dua single Mandarin sebelum ini.
“Pertama kali dengar lagu ini, saya terus jatuh hati. Namun, pada masa sama saya juga tidak yakin memandangkan genrenya berbeza daripada genre dua single saya yang terdahulu iaitu balada.
“Jika diamati, dua lagu terdahulu saya iaitu By Your Side dan Traveler lebih perlahan, liriknya menggunakan ayat yang bersambung dan panjang,” kata Layla.
Biarpun begitu, perkara tersebut tidak mematahkan semangat Layla yang sememangnya fasih berbahasa Mandarin.
“Pihak pengurusan, Warner Music Malaysia sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan mereka yang menguatkan semangat saya untuk cuba merakamkan karya ini.
“Alhamdulillah, proses rakaman berjalan selama sehari dan semuanya dapat disiapkan dengan lancar,” ujar Layla.
Berbicara tentang persahabatan mereka, kedua-dua bintang muda itu berkenalan sejak 2018 dan menjadi akrab memandangkan bernaung di bawah pengurusan sama, Warner Music.
“Kami berkenalan sejak 2018. Waktu itu, saya masih belajar di tingkatan empat. Saya ingat lagi, pertama kali saya bertemu Bunga, saya masih memakai uniform sekolah. Saya artis baharu di Warner Music Malaysia ketika itu.
“Mungkin jarak usia yang tidak jauh berbeza jadi, kami mudah serasi. Bagi saya kolaborasi kali ini sesuatu yang sangat dekat dengan kami dan agak peribadi,” kata Layla .
Meskipun dinyanyikan dalam bahasa Mandarin, Bambino yang mengisahkan jatuh bangun kehidupan anak muda itu cukup mesra telinga.
Azam
Ditebak, tidak teringinkah menyanyikan Bambino dalam bahasa lain seperti Melayu dan Inggeris, Laylan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan.
“Sebagai penyanyi sudah tentu saya teringin menyanyikan lagu Bambino dalam pelbagai versi bahasa seperti Melayu atau Inggeris,” ujar Layla.
Bambino telah dilancarkan di semua platform digital dan video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia Chinese sejak 17 Disember lalu.
Beralih bicara tentang pencapaian terbaiknya pada tahun ini, Layla yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, penampilannya di papan iklan digital gergasi di New York, Amerika Syarikat pada Julai lalu merupakan kenangan terindah dan pencapaian tertingginya setakat ini.
“Saya tidak pernah menyangka perkara tersebut akan berlaku dalam karier seni,” ujar Layla.
Saat disoal tentang azam tahun baharunya, Layla yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Antarabangsa UNITAR, mahu mempelajari pelbagai bahasa lain terutamanya Tamil.
“Selepas ini saya mahu ada lagu daripada bahasa lain seperti Inggeris, Korea ataupun Tamil.
“Saya memang ingin mempelajari bahasa Tamil kerana bapa keturunan India Muslim, tetapi tidak menggunakan bahasa Tamil.
“Jadi, saya mahu mempelajarinya untuk diri sendiri dan mungkin boleh digunakan dalam karier pada masa depan. Bagi saya bahasa sangat indah dan terdapat kelebihan jika boleh bertutur dalam banyak bahasa,” kongsi Layla yang berkebolehan bermain gitar dan juga keyboard.
Sementara itu, Bunga yang telah muncul dengan 13 buah karya sepanjang dua tahun bergelar penyanyi rap antaranya, Bunga, Apedehal, Intan Payung bersama Noraniza Idris, Amaran (Siti Nordiana) dan Dup Dup (Aizat Amdan) bakal muncul dengan album solonya pada tahun hadapan.
“Resolusi 2022 saya ialah untuk menzahirkan sebuah album solo. Konsep album tersebut cukup berbeza dengan muzik yang saya bawakan ketika ini. Album tersebut memang akan tertumpu kepada saya seorang sahaja,” beritahunya.
Bunga yang masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga berazam untuk membeli rumah kedua buat dirinya sendiri dan membina empayar perniagaan.
“Tahun depan saya berazam untuk menghabiskan kuliah, bikin album, bina empayar perniagaan dengan menghasilkan barangan atas jenama Bunga dan membeli rumah kedua.
“Rumah pertama yang saya beli sebelum ini sebuah kondominium di Hulu Langat, Selangor adalah hadiah untuk ibu, manakala rumah kedua pula untuk diri sendiri.
“Saya akan menabung dan cuba capai sasaran yang diinginkan,” tutur Bunga yang mahu mengambil kelas untuk memperkasakan kembali bahasa Mandarinnya.
Bunga turut menyifatkan single kolabirasi dengan Noraniza Idris, Intan Payung yang mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 merupakan pencapaian terbesarnya sepanjang bergelar penyanyi rap.
Berdebar dan teruja, Bunga berjanji akan melakukan yang terbaik meskipun Noraniza Idris tidak dapat bersama kerana mengerjakan umrah ketika berlangsungnya pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 bermula 31 Disember ini.
“Pencapaian terbesar untuk saya tahun ini adalah muncul dengan single Intan Payung bersama penyanyi legenda Noraniza Idris.
“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik kerana ini pengalaman pertama saya ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 36. Jika ada rezeki akan ke Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Saya mempersiapkan diri untuk bertanding walaupun waktu itu jadual kuliah agak padat.
Semuanya luar jangkaan dan saya bersyukur dengan setiap rezeki yang diberi kepada saya,” tutur Bunga menutup bicara.