fbpx

Banjir: Penduduk berisiko di Hulu Dungun dipindahkan awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaimi (kiri) memberi taklimat persiapan banjir kepada pegawai dan anggota agensi keselamatan di Balai Polis Kuala Jengai, Dungun hari ini.

DUNGUN – Penduduk tiga perkampungan di Hulu Dungun di sini yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah akan dipindahkan lebih awal sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir ketiga yang diramalkan berlaku bermula malam Khamis ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pemindahan tersebut akan memberi keutamaan kepada warga emas, bayi dan kanak-kanak yang menetap di Kampung Pasir Raja, Kampung Kuala Jengai dan Kampung Minda di sini.

“Tiga buah kampung berkenaan biasanya akan dinaiki air yang lebih cepat berbanding kampung lain sekiranya hujan turun dengan lebat,” katanya selepas memberi taklimat persiapan banjir kepada petugas barisan hadapan di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.

Jelasnya, persiapan awal banjir gelombang ketiga dilakukan berikutan amaran banjir dikeluarkan Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara yang menjangkakan paras Sungai Dungun berhampiran Kampung Pasir Raja akan melepasi tahap bahaya pada lusa dan Jumaat ini.

Beliau berkata, ia sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah berhampiran sungai tersebut.

“Sebanyak 27 buah bot yang merupakan aset polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) dan penduduk kampung serta 20 buah kenderaan pacuan empat roda termasuk dari Kelab 4X4 Daerah Dungun telah bersiap sedia digunakan bagi operasi pemindahan mangsa banjir.

“Kita juga meletakkan seramai 10 pegawai dan 121 anggota, polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bertugas di kawasan risiko bencana itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI