KELAB Badminton (KB) Bandar Maharani (BMBC) membuktikan kehebatan apabila merangkul kejuaraan Top Glove Purple League Pro-Am (TGPLPA) 2021 selepas membenam cabaran KB Butterworth 9-1 pada perlawanan akhir di Putrajaya kelmarin.
Meskipun turun sebagai pasukan underdog, namun ia tidak menghalang pasukan berpangkalan di Muar, Johor itu bermula garang menerusi beregu campuran, Zachary Sia-Yap Yee yang menewaskan Tan Yi Han-Goh Jin Wei 3-1 (10-11, 11-7, 11-7, 11-7).
BMBC terus mengukuhkan kedudukan apabila perseorangan lelaki, Tai Chuan Zhe meletakkan pasukan itu mendahului 6-1 apabila mudah mengenepikan cabaran Samuel Lee 11-7, 11-10, 11-7.
Kemudian, giliran bintang perseorangan wanita BMBC, Dania Sofea Zaidi menunjukkan kemampuan apabila menang 11-8, 11-6, 11-10 ke atas Isabel Liau, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya 9-1.
Pengurus pasukan BMBC, Eric Chan mengakui, beliau gembira dengan komitmen yang ditunjukkan barisan pemainnya untuk merangkul kejuaraan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.
“Saya sangat bangga dengan aksi yang ditampilkan oleh semua pemain bagi membantu pasukan muncul juara. Persiapan sedikit mencabar kerana sukar untuk kumpulkan semua pemain, namun kami berjaya atasi cabaran tersebut.
“Saya juga gembira dengan prestasi Dania Sofea yang menyumbang mata penting buat pasukan biarpun dia adalah pemain paling muda dalam pasukan. Dia merupakan pemain yang sangat berbakat,” kata beliau.
Sementara itu, Dania Sofea, 15, yang pernah mencipta sensasi apabila merangkul takhta AEON Credit Purple League Junior pada Mac lalu menyuarakan kegembiraan kerana dapat menyumbang mata buat pasukannya.
“Terima kasih kepada pasukan kerana beri kepercayaan kepada saya untuk mewakili BMBC. Kemenangan hari ini (kelmarin) menyuntik semangat saya untuk bekerja keras bagi mengekalkan prestasi,” ujarnya.