fbpx

Ayuh Malaysia, siapa datang, kita langgar!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

MALAYSIA mempunyai pemain hoki berbakat besar yang mampu memberikan tentangan kepada kuasa-kuasa besar dunia dalam usaha melakar pencapaian di persada antarabangsa.

Ia terbukti menerusi kejayaan skuad bawah 18 tahun negara meraih pingat emas acara hoki lima sebelah lelaki pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina.

Menariknya, penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 22 gol, jauh mengatasi pencabar, Philimon Bwali dari Zambia (13 gol).

Bukan itu sahaja, keputusan skuad projek khas lelaki kebangsaan ketika menentang gergasi dunia, Belgium pada Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India awal bulan ini juga wajar diberikan pujian.

Belgium hadir ke kejohanan berprestij dunia bagi kategori umur bawah 21 tahun itu sebagai pasukan pilihan.

Ramai menjangkakan Belgium bakal berpesta jaringan tetapi jangkaan itu meleset apabila skuad remaja negara berjaya mengikat dengan seri 1-1.

Keputusan itu membolehkan Malaysia mara ke suku akhir tanpa sebarang kekalahan di peringkat kumpulan yang turut dihuni Chile dan Afrika Selatan.

Malangnya, kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila Mala­ysia tumbang tiga kali berturut-turut di tangan lawan Eropah bermula Perancis (suku akhir), Belanda (klasifikasi 5/8) dan Sepanyol (klasifikasi 7/8).

Meskipun mencapai sasaran lapan terbaik pada Piala Dunia Hoki Remaja 2021, namun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu melakukan sesuatu untuk memastikan kejayaan lebih gemilang mampu diraih.

Presiden MHC, Datuk Seri Su­bahan Kamal menyedari perkara itu dan berjanji akan memperhebatkan lagi perancangan bagi menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur.

“Barisan remaja negara tidak mendapat sebarang latihan sepanjang dua tahun oleh kerana pandemik Covid-19. Mereka cuma dapat beberapa perlawanan pendedahan ketika Siri Jelajah United Kingdom.

“Kami akan beri pendedahan secukupnya termasuk menghantar mereka bermain banyak aksi antarabangsa, mengikuti siri-siri jelajah sebagai persediaan menuju ke Piala Dunia Remaja 2023 di Malaysia,” katanya.

Tiada salahnya jika MHC meniru modul persediaan pasukan remaja terdahulu iaitu Skuad Projek 2013 yang terbukti berkesan sehingga meraih tempat keempat pada Piala Dunia Hoki Remaja 2013.

Ia adalah pencapaian terbaik hoki negara dalam tempoh 31 tahun di pentas Piala Dunia Hoki Remaja.

Ketika itu, Skuad Projek 2013 memilih benua Eropah sebagai ‘rumah kedua’ dengan mengadakan siri jelajah berbulan-bulan lamanya bagi membolehkan mereka mendapat banyak aksi berkualiti.

Legenda hoki negara, Mirnawan Nawawi yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Skuad Projek 2013, mendedahkan 25 hingga 35 perlawanan diperlukan buat membentuk pasukan terbaik.

“Kita tak sama dengan pasukan Eropah yang berada jauh di hadapan. Kita perlukan persiapan rapi untuk memberikan saingan seperti pasukan terdahulu yang ada tiga hingga empat tahun persediaan” jelasnya.

Moto ‘Siapa datang, kita langgar’ yang digunakan Skuad Projek 2013 sesuai buat pasukan remaja selepas ini bagi memastikan kejayaan dapat diraih di bumi sendiri dua tahun depan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI