PUTRAJAYA – Sebanyak 95.37 peratus calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) menggunakan Modul Penilaian Kelas KAFA (MPKAFA) lulus semua subjek.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, keputusan itu juga adalah bukti keberkesanan aktiviti pendidikan KAFA.
Ini ujarnya termasuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang telah dilaksanakan dalam pelbagai cara dan kesesuaian bermula sejak tahun lalu di seluruh negara.
“Pencapaian ini selaras visi dan misi tujuan pengajian KAFA melahirkan manusia yang terdidik dan tidak terikat peperiksaan bertulis semata-mata,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
UPKK berdasarkan MPKAFA dilaksanakan buat kali pertama dalam suasana Pelan Pemulihan Negara secara berfasa yang melibatkan 6,163 pusat penilaian dan lebih 35,000 guru KAFA.
Tahun ini jumlah calon melonjak dengan seramai 464,605 calon berdaftar disebabkan 222,528 murid tahun enam tidak dapat menduduki UPKK tahun lalu yang ditunda ekoran isu Covid-19.
Ujian itu berlangsung dari 15 November sehingga akhir bulan lalu melibatkan sebanyak lapan mata pelajaran diuji dalam bentuk amali dan lisan sepenuhnya oleh guru kepada calon terbabit. – K! ONLINE