MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic melaungkan amaran kepada Newcastle United menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. James Park awal pagi esok.
Kes positif Covid-19 yang melanda pasukan itu sebelum ini menyebabkan dua perlawanan menentang Brentford dan Brighton terpaksa dibatalkan sekali gus membantutkan proses untuk serasi dengan corak permainan pengurus sementara, Ralf Rangnick.
Justeru, Matic menyatakan pasukan itu sudah tidak sabar untuk turun dan menjadikan Newcastle sebagai mangsa melepaskan geram sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.
“Sudah tentu kami tidak sabar untuk turun bermain. Seperti anda semua tahu, kami berdepan isu Covid-19 dalam pasukan sebelum ini. Bagaimanapun, kami sekarang sudah kembali dan bersedia sepenuhnya.
“Kadang-kadang kami agak gembira kerana dapat lebih waktu rehat tetapi diserang oleh Covid-19 bukanlah sesuatu yang baik. Sebagai pemain bola sepak, kami lebih memilih untuk turun beraksi,” kata pemain Serbia itu.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan, pemain-pemain The Red Devils kini semakin serasi dengan corak permainan yang diterapkan oleh Rangnick apabila masih belum tewas dalam tiga perlawanan.
“Kami semua faham idea yang beliau cuba sampaikan, ia bukan sekadar memberi tekanan kepada pihak lawan tetapi kami perlu berikan segala-galanya di atas padang,” ujar Matic. – AGENSI