fbpx

UDA terus pertingkat usaha bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza (kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany menyantuni keluarga yang terkandas akibat banjir di Jalan Sepakat Kampung Parit Mahang, Jeram baru-baru ini.

PETALING JAYA – Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), UDA Holdings Berhad (UDA) terus giat menghulurkan bantuan kepada komuniti terkesan akibat banjir di seluruh negara dengan pe­nyaluran sumbangan tambahan berjumlah RM85,000 berupa barangan keperluan asas seperti toto dan makanan.

Ini menjadikan sumbangan terkumpul UDA bagi membantu mangsa banjir baru-baru ini berjumlah RM135,000 setakat semalam.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif de­ngan menggerakkan bantuan ke beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor iaitu di Klang, Kuala Selangor, Kapar dan Kota Raja pada 23 Disember lalu.

“Ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Kuala Selangor, kami berkesempatan menyantuni tiga keluarga iaitu Mazlan Md. Isa, Khairiah Kamarudin dan Rahim Kamarudin yang terkandas di Jalan Sepakat, Kampung Parit Mahang, Jeram.

“Sebelum itu, UDA bersama-sama MEDAC turut mendekati mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Hulu Langat bagi menghulurkan bantuan,”
katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut siaran tersebut, UDA turut menjelajah wilayah perniagaannya di Negeri Sembilan bagi menyalurkan sumbangan keperluan seperti toto kepada mangsa bencana banjir di Port Dickson dan Jelebu pada 24 Disember lalu.

Sementara itu, pada 25 Disember, UDA menyerahkan bakul makanan di di Kuala Terengganu, manakala sebanyak 500 toto bakal diedarkan kepada mangsa banjir di Pahang dalam tempoh masa terdekat.

Terdahulu, UDA bersama anak syarikatnya, AnCasa Hotels & Resorts telah memulakan misi bantuan banjir pada Ahad ming­gu lalu dengan menyumbangkan 1,000 pek makanan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai serta 600 bakul makanan ke beberapa buah PPS di Seremban, Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Selain itu, UDA menerusi anak syarikatnya, UDA Dayaurus Sdn. Bhd. turut membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah Kuala Langat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI