fbpx

Tragedi ngeri ragut nyawa tiga saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMORIAL Tsunami yang dibina menggunakan 26 bot nelayan di Kota Kuala Muda, Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Tanggal 26 Disember 2004, menjadi memori kekal penduduk di sekitar Kota Kuala Muda, berikutan badai tsunami yang meranapkan 10 buah kampung di sini selain meragut 11 nyawa.

Selain kerosakan rumah dan kehilangan harta benda, tragedi ombak besar itu juga turut melumpuhkan semua aktiviti nelayan di kawasan tersebut selepas bot serta peralatan menangkap ikan musnah.

Mengimbau kembali kejadian 17 tahun lalu, seorang nelayan dari Kampung Tepi Sungai, Alias Saedin, 61, berkata, kebanyakan mangsa mengambil masa hampir setahun untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, dalam tempoh tersebut, mereka menjalani kehidupan dengan sumbangan saudara mara dan orang ramai.

Alias berkata, tragedi tsunami yang meragut nyawa dua ibu saudara dan seorang sepupunya itu menjadi kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri serta tiga orang anak saya yang masih kecil ketika itu selamat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Aisah Saad, 77, turut berkongsi pengalaman melalui detik-detik cemas ketika rumahnya dimasuki air.

Katanya, pada hari kejadian mereka sibuk menghadiri dua majlis kenduri dan menziarahi kematian anak salah seorang penduduk kampung.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 1 tengah hari, suasana harmoni pada hari tersebut berubah menjadi tragedi ngeri buat mereka semua.

“Saya masih ingat lagi ketika rumah kami dimasuki air setinggi empat meter dan saya bersama dua anak berlari sehelai sepinggang dengan badan dipenuhi lumpur untuk menyelamatkan diri.

“Hanya Allah sahaja yang tahu keadaan kami ketika itu, antara hidup dan mati sahaja, namun saya bersyukur kerana umur kami masih panjang,” luahnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI