REMBAU – Dua lelaki maut dalam kejadian di lorong kecemasan bagi kenderaan kehabisan minyak di kilometer 241.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Saifuddin Abdullah, 50, pemandu lori, jenis Isuzu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Manakala menurutnya, penunggang motosikal jenis Honda , R. Morgana Krishnan, 49, yang bekerja sebagai runner Puspakom pula mengalami mengalami kecederaan putus di bahagian kepala dan turut disahkan maut di lokasi kejadian.
“Kemalangan ini membabitkan tiga buah kenderaan iaitu lori jenis Isuzu, motosikal jenis Honda dan treler. Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori sedang berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak dan dibantu oleh penunggang motosikal yang datang membawa botol minyak.
“Kemudian datang lori treler dari arah Ayer Keruh menghala ke Senawang merempuh pemandu lori dan penunggang motosikal yang berdiri di sebelah kanan lori menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hazri berkata, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat.
Menurutnya, lori treler telah meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan usaha untuk mengesan pemandu sedang dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -K! ONLINE.