GOMBAK – Sejumlah 128 pelajar lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diarah mengosongkan asrama semalam susulan tanah runtuh dan mendapan jalan di kawasan bangunan terbabit.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, laporan kejadian diterima pukul 9 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi.
“Pelajar UIAM yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan runtuhan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang ketika hujan lebat dan mereka telah diarah untuk mengosongkan bangunan asrama.
“Pemantauan yang dilakukan mendapati tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai bangunan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mendapan jalan berlaku dengan anggaran keluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.
“Pihak pengurusan UIAM juga sudah menutup kawasan tersebut dengan meletakkan kon dan sawar-sawar serta menghubungi Konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE.