PETALING JAYA – Musibah banjir yang melanda Lembah Kelang dan beberapa kawasan di negeri lain mendorong stesen TV AlHijrah menyiarkan episod khas Hijrahkan Laguku Solidariti Buat Malaysia pada 25 Disember lalu.
Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, berkata rancangan khas yang menggantikan pusingan suku akhir program realiti Islamik itu direalisasikan untuk menyuntik semangat kepada mereka yang terjejas.
“Situasi banjir semasa yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa ini turut dirasai seluruh masyarakat tidak terkecuali bagi kami warga TV AlHijrah.
“Oleh itu TV Alhijrah mengambil langkah merehatkan penyanyi yang bertanding dalam Hijrahkan Laguku dan menggantikan episod tersebut dengan program khas sebagai menghormati rakyat Malaysia yang sedang berduka.
“Rancangan dua jam dinamakan Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia ini diharap dapat menyuntik semangat serta motivasi baharu kepada seluruh anggota masyarakat terutama yang terkesan.
“Kami turut menghimpunkan penceramah untuk berkongsi pelbagai pengisian yang diharap memberikan ibrah kepada penonton atas setiap kisah misi
kemanusiaan termasuk aktiviti turun padang membabitkan peserta Hijrahkan Laguku,” katanya.
Menariknya konsep pada malam tersebut bukan sekadar berhibur, sebaliknya mengupas berkenaan banjir yang melanda negara malah barisan artis jemputan turut menyanyikan lagu serta diselitkan bacaan kitab suci Alquran.
Antara tetamu termasuk Datuk Ustaz Kazim Elias selaku penceramah, Furqan Fawwaz (Qari) , Ustaz Fazrul Ismail (Pentadabbur) dengan Faizal Ismail FBI selaku hos utama selain dibantu Ustaz Zarifi Daud.
Barisan penyanyi pula menampilkan kemunculan Lah Ahmad, kumpulan Zayne, Daqmie, Zack Kool, Rahmad Mega, Ustaz Zarifi Daud, Suffian Amrin dan Ustaz Fazrul.
Sebagai pelengkap, pihak produksi turut mengadakan lintas langsung dengan Ustaz Don Daniyal yang membacakan doa dari Tanah Haram untuk diaminkan penonton TV Alhijrah.
Sementara itu, untuk episod minggu ini iaitu pada 1 Januari 2022, peserta akan terus memasuki peringkat separuh akhir yang menonjolkan pertembungan enam penyanyi.
Episod suku akhir yang ditunda minggu lalu diteruskan kepada peringkat separuh akhir dengan menyaksikan penampilan enam peserta sahaja apabila pada minggu ke lima tiada penyikiran walaupun Shahir Zawawi dan Pengiran Adam berada di tangga terbawah.
Selain kedua-dua penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) itu, pencabar lain yang berjaya mara ke semi finale ialah Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, serta Zaf VE.
Menerusi persaingan mingguan sebelum ini, Zack Kool serta Rahmad Mega adalah dua peserta yang sudah terkeluar daripada persaingan.
Terdahulu, cabaran yang bermula pada 20 November lalu menyaksikan peserta yang sudah berhijrah menggubah senikata seleksi dendangan popular kepada lagu dakwah bagi mencapai matlamat berkongsi pengisian bermanfaat. – K! ONLINE