fbpx

Raih RM200,000 sebulan hasil jual ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek pengedaran dan rampasan air ketum pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru hari ini.- RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Satu sindiket memproses dan menjual air ketum didalangi seorang bekas penjawat awam yang telah beroperasi sejak awal tahun 2017 lalu dengan mengaut keuntungan antara RM120,000 hingga RM200,000 sebulan berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu tumpas setelah dalangnya yang berusia 35 tahun, bersama isterinya, 36 tahun dan dua pekerjanya ditahan dalam serbuan pada 22 Disember lalu.

Katanya, operasi sindiket itu berjaya dibongkar selepas pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 42 tahun yang positif dadah dalam satu operasi di Simpang Renggam pada 21 Disember lalu.

“Suspek juga dipercayai telah selesai melakukan penghantaran melibatkan bekalan daun ketum seberat 700 kilogram.

“Ekoran penahanan suspek, polis menjalankan satu serbuan pada pukul 2.45 pagi keesokan harinya dan berjaya menahan empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 36 tahun ditahan bersama sejumlah daun ketum, air ketum dan peralatan memproses ketum.

“Hasil saringan urin yang dijalankan mendapati tiga suspek termasuk dalang sindiket dan isterinya positif, manakala tiga daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa sebuah kilang dengan bayaran RM1,000 untuk dijadikan tempat membungkus dan memprosesnya ketum.

“Bekalan ketum diperoleh daripada pembekal di utara semenanjung sebelum dihantar menggunakan lori buah-buahan.

“Harga jualan semasa daun ketum antara RM35 hingga RM80 manakala sebotol air ketum seberat 1.5 liter dijual antara RM13 hingga RM25. Siasatan mendapati sindiket ini memperoleh keuntungan antara RM120,000 hingga RM200,000 sebulan.

“Wanita yang merupakan isteri dalang sindiket turut bertindak selaku akauntan manakala dua pekerja lelaki yang ditugaskan selaku tukang masak air ketum diberikan gaji antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan,” ujarnya.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 288 ikatan daun ketum seberat 75.55 kilogram bernilai RM755.50 dan 60 botol air ketum seberat 90 liter bernilai RM900 serta peralatan memproses ketum. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI