PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berterima kasih kepada Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara.
PTPTN sebagai agensi di bawah KPT komited memastikan agar urusan berkenaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam.
Menurut kenyataan dari tabung pendidikan, peminjam boleh mengemukakan permohonan mulai 28 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022 melalui portal rasmi PTPTN di (www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalikBanjir) atau hadir ke mana-mana Cawangan PTPTN yang berhampiran. Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga (3) bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan dua (2) bulan ke hadapan di antara Disember 2021 hingga Mei 2022.
Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga (3) hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.
Peminjam diingatkan agar mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan tersebut dapat disampaikan kepada pihak berkenaan.
“Bagi penangguhan bayaran balik pinjaman ini peminjam diberikan pilihan sekiranya ingin membuat permohonan melalui mana-mana kaunter Pejabat PTPTN yang berhampiran atau peminjam juga boleh membuat permohonan secara dalam talian (online),” jelas di kenyataan tabunng pendidikan.
Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN melalui www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim atau menghubungi PTPTN melalui media sosial rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional. – K! ONLINE.