PETALING JAYA -Sukarelawan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikenali ‘MyLiveable Squad’ terus memaikan peranannya sebagai barisan hadapan Misi Bantuan Pasca Banjir bagi membantu kerja-kerja pasca banjir di Jelebu, Negeri Sembilan semalam.
Misi tersebut yang turut disertai Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan awam melibatkan kerosakan harta benda di fasiliti awam, jalan-jalan yang dipenuhi lumpur, saliran perparitan, longkang yang tersumbat serta sampah sarap, peralatan yang rosak di bahu-bahu jalan dan sekitar perumahan yang terjejas.
“Misi hari ini (semalam) adalah bagi membantu membersihkan sisa-sisa pepejal, sampah sarap, fasiliti awam dan rumah-rumah mangsa yang terkesan di sekitar Jelebu.
“Selain itu, misi turut meninjau kerja-kerja pembersihan yang sedang dilakukan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat konsesi, Southern Waste Management,” katanya.
Reezal Merican berkata, tumpuan pasukan KPKT pada ketika ini adalah untuk kerja-kerja pasca banjir dan bina semula kehidupan pasca banjir ini dengan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi kerja pembersihan di lima buah negeri yang terjejas Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Selangor yang tidak mengguna pakai Akta 672 diperuntukkan kira-kira RM2.1 juta, manakala Pahang berjumlah RM2.8 juta, Melaka RM145 ribu, serta Kuala Lumpur RM255 ribu dan Negeri Sembilan RM24 ribu.
“SWCorp telah menggerakkan 234 unit jentera dan peralatan khusus bagi membantu kerja-kerja pasca banjir di Pahang, Melaka, Negeri , Kuala Lumpur dan Selangor.
“Di Jelebu sahaja, pihak konesi telah menyediakan lapan buah lori RORO/Tipper termasuklah lima tan dan 16 tan, enam unit Tong RORO, tiga Waterjet Tanker, satu Backhoe dan dua kenderaan angkut,” jelasnya.
Kementerian turut menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Nasional Disaster Command Centre (NDCC) di 03-8064 2400 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan dan juga balai-balai bomba berdekatan.- K!ONLINE