SHAH ALAM – Diberikan maskara fiber oleh jurusolek yang menata rias wajahnya kira-kira dua tahun lalu membuatkan pengasas maskara Magnificient, Sharifah Nur Afifah Syed Annuar, 30, bertekad menjadikan maskara tersebut sebagai produk untuk dijual.
Menurutnya yang senang dipanggil Nur Afifah, kenangan itu adalah ketika dia menjadi model bagi satu produk keluaran seorang rakan.
“Saya berasa amat selesa ketika mengenakan maskara jenis ini, malah ia turut memberikan hasil solekan yang baik pada wajah. Jadi saya membuat keputusan untuk menjual maskara fiber kerana mahu berkongsi keselesaan dan hasilnya dengan orang lain.
“Sebelum mengambil keputusan menceburi industri ini pada tahun 2019, saya turut dipelawa untuk menjalankan perniagaan lain termasuk menjual lampin bayi, namun saya tolak pelawaan itu untuk serius bergiat aktif dalam perniagaan maskara fiber ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, baru-baru ini.
Afifah mengakui agak sukar sebenarnya untuk memulakan perniagaan secara berseorangan, namun dengan bantuan kenalan rapat, dia berjaya mengorak langkah dengan baik.
Menurut ibu tunggal ini, masa setahun diambil untuk mengeluarkan Magnificient kerana mahu memastikan produk maskara keluarannya benar-benar berkualiti serta menepati cita rasa golongan sasaran.
Pun begitu, pandemik Covid-19 yang melanda tahun lalu mengakibatkan Nur Afifah terpaksa menunda pengeluaran maskaranya selama beberapa bulan.
“Saya terpaksa beralih menjual Magnificient melalui platform media sosial, iaitu melalui Facebook peribadi dan akaun Instagram, Aysential ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain itu, saya turut mempunyai 10 ejen di Lembah Klang. Alhamdulillah, produk ini kini mendapat sambutan,” kata anak jati Kedah itu.
Secara purata, ujar Nur Afifah, Magnificient dapat dijual sebanyak 200 unit sebulan dengan jualan paling tinggi yang pernah dicapainya adalah sebanyak 350 unit pada Mac tahun ini.
Malah, produk tersebut turut mendapat tempahan pelanggan dari Singapura dan Brunei.
“Sambutan diterima membuatkan saya bersemangat untuk mengembangkan perniagaan dan kami menyasarkan untuk menjual 500 unit maskara sebulan tahun hadapan.
“Saya juga berharap dapat merekrut ejen dan dropship seramai mungkin di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Berbicara mengenai produknya, Nur Afifah berkata, Magnificient mesra golongan Muslimah kerana mudah ditanggalkan menggunakan air ketika hendak berwuduk.
“Kami juga memiliki ramai pelanggan berulang yang berpuas hati selepas pertama kali memakai produk ini,” katanya.
Tambah Nur Afifah, Magnificient juga boleh didapati di platform dalam talian, Shopee.