PETALING JAYA – Penyanyi Mark Adam disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kelmarin.
Mark, 42, yang mengalami simptom demam dan hilang deria bau kini menjalani kuarantin di rumah. Menurut isterinya yang juga pengurus, Norazah Redzuan suaminya itu bagaimanapun berada dalam keadaan yang baik tanpa mengalami gejala teruk.
“Mark mula berasa kurang sihat sejak Sabtu lalu dan saya terus memintanya membuat ujian kendiri
dan selepas kedua-dua keputusan positif, saya terus membawanya ke hospital swasta.
“Selepas ujian PCR turut menunjukkan tanda sama, kami diminta kuarantin di rumah tetapi saya pantau keadaan kesihatannya terutama tahap oksigen dalam badan.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada gejala membimbangkan. Doktor turut bekalkan ubat demam. Suhu badannya naik sikit saja tetapi dia maklumkan alami sakit kepala dan masalah hidung tersumbat.
“Saya tidak dijangkiti virus itu sekali gus boleh menjaga Mark sepanjang tempoh kuarantin. Terima kasih juga di atas ingatan serta doa ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, Norazah meluahkan rasa syukur di atas keprihatinan pihak yang berurusan dengan mereka terutama membabitkan soal kerja.
Katanya, sepanjang tempoh kuarantin nanti Mark terpaksa menunda beberapa tugasan termasuk babak terakhir penggambaran drama Sayap Bagimu yang dijadualkan pada 4 Januari depan.
“Penggambaran drama Sayap Bagimu ini terpaksa dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari dan sepatutnya disambung semula awal 2022.
“Babak membabitkan Mark hanya tinggal sedikit saja iaitu seharian pada 4 Januari. Kita tengok macam mana nanti sebab dia masih dalam tempoh kuarantin pada tarikh berkenaan.
“Misi menyalurkan bantuan barangan keperluan peribadi untuk mangsa banjir di Lembah Kelang juga kami serahkan kepada anggota pasukan lain untuk meneruskannya.
“Mengenai program realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah yang disertai Mark, perinciannya pun masih dalam perbincangan,” kata Norizan yang selesa disapa Ezan.
Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumahtangga pada 2003 itu menggerakkan misi membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di Kota Kemuning dan Padang Jawa, Klang.
Menerusi misi pada Khamis lalu itu, Mark bersama guru Suara Academy pergi dari rumah ke rumah menyerahkan beg berisi baju tidur, selimut, pakaian dalam wanita dan lelaki, tuala dan sebagainya. – K! ONLINE