BANDAR RAYA KUWAIT – Kuwait menafikan laporan rundingan dengan Malaysia berhubung potensi penjualan jet pejuangnya kepada negara berkenaan, lapor laman berita Eurasian Times baru-baru ini.
Penafian itu dibuat selepas Malaysia sebelum ini menyatakan minat untuk mendapatkan jet pejuang F/A-18 (Hornet) terpakai dari Kuwait.
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Ikmal Hisham Abdul Aziz memberitahu Parlimen negara itu minggu lalu bahawa pembelian 33 pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik dengan waktu operasi rendah itu akan dibuat secara ‘lock, stock dan barrel’.
Malaysia ketika ini mempunyai armada lapan pesawat pejuang tempat duduk berkembar F/A-18D serta 18 jet Sukhoi Su-30MKM Flanker-H buatan Rusia.
Hornet itu telah dibeli pada tahun 1997 dan telah menyaksikan banyak penambahbaikan sejak sedekad lalu.
Penambahbaikan baharu itu termasuk penyepaduan Sistem Isyarat Topi Keledar Bersama, peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Sidewinder dan Munisi Serangan Terus Bersama dipandu satelit serta kemasukan pautan data Pautan 16.
Markas Staf Am Tentera Kuwait bagaimanapun telah menafikan laporan media bahawa negara itu merancang untuk menjual jet pejuang F/A-18C/D miliknya kepada Malaysia.
Taklimat akhbar itu menjelaskan bahawa laporan media baru-baru ini mengenai rundingan Tentera Udara Diraja Malaysia dengan Kementerian Pertahanan Kuwait adalah palsu.
Sebarang rundingan penjualan peralatan milik Kementerian Pertahanan akan disiarkan secara terus dan akan dibuat melalui Jawatankuasa Pelupusan Aset serta penyelarasan kementerian kewangan selepas mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat. – AGENSI