fbpx

‘Insaf atau saya akan lapor kepada polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TINDAKAN Azwan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang mendapat pujian ramai.

PETALING JAYA – Pemuda berhati mulia dari Melaka dikenali Azwan Omar, 28, yang tular di media sosial ekoran tindakannya membantu mangsa banjir baru-baru ini meminta orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan namanya untuk mengaut keuntungan.

Digelar ‘Abang Viva’ oleh kalangan netizen di dunia maya, Azwan turut meminta pihak berkenaan agar segera insaf atau berdepan sebarang bentuk tindakan undang-undang selepas ini.

“Sejujurnya, saya tidak mahu isu ini diperbesarkan dan saya juga telah mengulasnya di laman Facebook peribadi.

“Saya harap pihak berkenaan insaf daripada melakukan perbuatan itu selepas ini.

“Bagaimanapun, jika masih ada pihak lain yang melakukan perkara sama, saya akan buat laporan polis untuk membersihkan nama saya bagi menghalang aktiviti ini berlanjutan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, Azwan memuat naik status di Facebook miliknya mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meng­gunakan namanya untuk mengaut keuntungan.

Tegas beliau, dia tidak pernah menggunakan khidmat mana-mana individu untuk menjadi orang tengah, sama ada untuk mendapatkan bantuan bot ataupun atas tujuan lain.

Sebelum itu, kisah Azwan mula menjadi tular di media sosial selepas pemuda itu sanggup ‘mengusung’ bot persendiriannya menggunakan sebuah Pe­rodua Viva untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Tindakan itu kemudian mendapat perhatian ramai pihak, sehingga beliau ditawarkan pelbagai ganjaran termasuk sebuah kereta.

“Apa yang saya lakukan adalah ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

“Lagipun, saya masih belum mahu memikirkan soal tawaran atau ganjaran kerana keutamaan ketika ini adalah membantu mangsa-mangsa banjir.

“Kita tolak tepi dahulu soal itu kerana saya hanya memikirkan soal misi memberi bantuan dan kata putus akan dibuat apabila saya sudah pulang ke Melaka kelak,” katanya.

Pemuda yang digelar ‘Wira Banjir’ juga memaklumkan, dia telah empat hari berada di Pahang bagi membantu mangsa banjir di sekitar kawasan Sungai Pahang dan masih belum menentukan destinasi bantuannya selepas ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI