NEW DELHI – Seorang wanita di India menghasilkan patung kecil atau figurine dengan menggunakan susu badan, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Tharika, 27, dari Chennai merupakan salah seorang pereka pertama di India yang menghasilkan patung kecil untuk disimpan oleh wanita sebagai cara untuk mengabadikan detik pertama mereka bergelar ibu.
Dia menggunakan 15 mililiter susu badan dan mengubahnya menjadi bahan seperti ‘plastik’, manakala bahan pengawet ditambah sebelum cecair itu dimasukkan ke dalam acuan selama dua bulan.
Selain susu badan, wanita itu juga menambah cebisan kuku dan rambut bayi untuk menghasilkan patung tersebut.
“Saya mengumpulkan susu badan daripada ibu-ibu, mengawetkannya dan menghasilkan barangan perhiasan daripadanya.
“Saya menambah bahan pengawet organik bagi menghalang susu daripada rosak sebelum mengeringkannya untuk menjadikannya bentuk pepejal. Kami akan memastikan barangan ini mampu bertahan seumur hidup,” katanya.
Tharika tertarik dengan idea itu apabila melahirkan anak lelakinya. Dia membuat penyelidikan menyeluruh di internet dan mencuba proses itu menggunakan susu badannya.
Selepas melakukan uji kaji selama lapan bulan, Tharika akhirnya berjaya membuat patung bayi daripada susu badannya.
“Sebagai ibu baharu, saya mempunyai impian untuk menyimpan susu badan saya sendiri. Saya terkejut apabila mengetahui tentang perhiasan susu ibu dan mahu tahu lebih lanjut mengenainya,” katanya.
Dia telah menjual sebanyak 1500 produk kepada lebih 250 pelanggan di seluruh negara, pada harga bermula dari £8 (RM44.90) – AGENSI