LONDON – Demi melengkapkan impian meraih gelaran dunia kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Remy Gardner terpaksa ‘menyembunyikan’ kecederaan ketika bersaing di perlumbaan terakhir Grand Prix (GP) Valencia bulan lalu.
Pelumba Australia itu mendedahkan, dia mengalami kecederaan patah bahagian tulang rusuk sejurus insiden kemalangan dengan Marcos Ramirez sewaktu latihan bebas kedua (FP2) di GP Algarve, Portugal sebelum itu.
Bagaimanapun, Gardner tidak melakukan pemeriksaan doktor atau imbasan X-ray untuk memastikan keadaannya supaya dapat meneruskan perlumbaan terakhir di Valencia.
Akibat insiden tersebut, Gardner menegaskan, dia terpaksa menahan kesakitan pada saingan terakhir itu sebelum mengakhiri perlumbaan tersebut pada kedudukan ke-10 sekali gus mengesahkan gelaran dunia pertama dalam kariernya.
“Saya tahu kemungkinan tulang rusuk saya patah tetapi saya tidak berjumpa dengan doktor. Saya hanya mahu selesaikan perlumbaan itu.
“Saya akui keadaan saya agak teruk, bukan hanya tentang kesakitan tetapi saya fikir mengenai perlumbaan nanti dan ia benar-benar menguji saya.
“Teman wanita saya banyak membantu saya. Dia memainkan peranan penting memastikan saya kekal positif kerana saya menanggung kesakitan yang amat sangat ketika itu.
“Selepas perlumbaan, saya tidak boleh bernafas. Saya cuba menjerit kepada mekanik dan semua orang, namun saya tidak mampu melakukannya kerana sesak nafas,” katanya.
Jangkaan Gardner tepat apabila dua tulang rusuknya disahkan patah selepas melakukan ujian sebaik berakhir perlumbaan tersebut.
“Saya bangga dengan diri sendiri selepas terpaksa bersaing dengan tulang rusuk yang patah,” jelas Gardner. – AGENSI