fbpx

‘Berendam dalam banjir lebih 8 jam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIF (dua dari kiri) menceritakan detik cemas dialami ketika ditemui di PPS Kampung Puom, Jelebu semalam.

JELEBU – Seorang lelaki warga emas di Kampung Puom di sini, berdepan situasi antara hidup dan mati selepas dia dihanyutkan arus deras banjir sejauh 250 meter dalam kejadian minggu lalu.

Mangsa, Harif Yusuf, 75, berkata, ketika kejadian hampir te­ngah malam 18 Disember lalu, dia bersama seorang anak serta beberapa penduduk cuba menyelamatkan diri dan berlindung di sebuah rumah jiran setinggi dua tingkat berikutan air naik mendadak.

Dia yang merupakan bekas penoreh getah berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia ‘ditarik’ arus deras sehingga tersekat di rumpunan buluh kira-kira 250 meter dari lokasi diha­nyutkan.

“Masa tu saya dah tak fikir apa dah, saya berserah pada Allah dan mengucap sahaja sepanjang dihanyut arus. Malah, sudah tak terkira berapa kali saya tertelan air banjir dan terbenam. Saya hanya mampu mengucap dan berpaut pada mana-mana kayu yang lalu di hadapan saya sahaja.

“Mujurlah keesokan harinya ada penduduk yang mula mencari saya. Saya bersyukur sangat mereka sanggup meredah banjir yang masih tinggi lebih satu meter untuk mencari saya yang sudah berendam dalam air lebih lapan jam,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Puom, di sini, semalam.

KESAN banjir besar masih jelas kelihatan di Kampung Puom, Jelebu selepas air mula surut sehingga ada rumah penduduk rosak teruk dilanda arus deras.

Turut hadir, Pengerusi Peduli Waghih Negeri Sembilan, Mohd. Razif Mansor.

Harif mengucapkan terima kasih kepada Skuad Peduli Prihatin Misi Bantuan Banjir terdiri dari Peduli Waghih Negeri Sembilan dan Seremban Runner Club (SRC) serta Citylink Express (M) Sdn. Bhd. kerana telah menyampaikan bantuan makanan, tilam, bantal bukan hanya kepadanya, bahkan kepada semua keluarga yang terjejas.

Katanya, buat masa ini dia berlindung di PPS itu dan merasa lebih selamat memandangkan pihak PPS memantau keperluan serta keadaan kesihatan dirinya.

“Semasa dihanyutkan, badan saya cedera terkena pokok, ran­ting dan lain-lain lagi. Mujur semua membantu saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Abd. Ghafar Md. Taha berkata, Harif merupakan antara penduduk tertua di kampung itu yang berdepan detik cemas semasa banjir melanda minggu lalu.

Menurutnya, air banjir mula naik kira-kira pukul 9 malam, namun penduduk tidak menyangkakan menjelang hampir tengah malam parasnya naik mendadak sehingga mencapai lebih lima meter.

“Dalam kejadian ini, dianggarkan lima daripada 26 buah rumah penduduk musnah teruk. Ada yang hanyut, roboh dan sebagainya.

“Sehingga kini, sebanyak 39 mangsa banjir daripada 12 keluarga masih berada di PPS Kampung Puom sementara menanti kerja-kerja pembersihan rumah dijalankan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI