KUBANG PASU – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas, manakala adiknya masih koma dalam kejadian kemalangan terbabas jatuh sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra di sini semalam.
Mangsa, Haraz Safiy Haniz, 4, sempat diselamatkan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jitra, manakala adiknya, Syafin Haadif Haniz, 2, masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ibunya, Nurul Syahira Zamri, 34, ketika ditemui menceritakan detik cemas itu apabila kereta jenis Perodua Myvi dipantu suaminya, Haniz Mohamad, 35, terbabas dan jatuh ke dalam sungai tersebut.
“Ketika itu Haraz berada di tempat duduk belakang dan mengadu rasa ingin muntah dan suami minta tolong tengokkan dan kemungkinan suami juga menoleh untuk tengok anak sebelum tiba-tiba kereta hilang kawalan dan terjatuh ke dalam sungai.
“Saya dan suami sempat keluar berikutan cermin kereta terbuka secara automatik namun kami buntu fikir cara hendak selamatkan anak-anak.
“Ketika itu juga ada orang awam berdekatan terjun dan menyelamatkan anak-anak kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Jitra di sini semalam.
Tambahnya, mereka yang tinggal di Pulau Pinang ketika itu dalam perjalanan untuk menziarah kubur saudara di Air Hitam.
“Kami juga baru sampai di rumah ayah saya di Kampung Sungai Kechil, Kuala Nerang pada Jumaat lalu dan berhimpun adik-beradik di situ.
“Pagi tadi sebelum keluar, Haraz meronta-ronta tidak mahu ikut keluar dan dia juga tidak pernah menolak ketika diajak keluar sebelum ini namun saya tidak sangka itu petanda dia pergi selama-lamanya,” ujarnya.
Menurutnya, dia yang juga sedang mengandung anak ketiga trauma, namun reda dengan kejadian yang telah menimpa mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat manakala adiknya masih menerima rawatan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -K! ONLINE